Monday, July 26, 2010

KARNIVAL USAHAWAN DESA KUD 2010 TAMPIL PRODUK DESA KUALITI DUNIA...





Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai dengan logo Karnival Usahawan Desa KUD 2010.


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Karnival Usahawan Desa 2010 KUD 2010 anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berlangsung mulai hari ini hingga 25 Julai di Stadium Bukit Jalil, berbeza dari tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara tahunan KKLW ini bukan sahaja menghimpunkan 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka, tetapi juga akan membantu mereka mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Tahun ini, Kementerian menerima sambutan yang amat menggalakkan berhubung permintaan tapak gerai pameran dan jualan produk. Pengusaha yang terpilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah KKLW dengan mereka mempamer dan menjual produk makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai penganjuran KUD 2010 ialah penganjuran terbesar sejak karnival seumpamanya diadakan.

Selain menempatkan 500 usahawan desa yang terpilih, pihaknya turut menjemput pasar raya besar seperti Giant, Tesco, Mydin dan The Store dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa. Ia selaras dengan objektif penganjuran KUD 2010, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui pempadanan perniagaan.

Kementerian turut mengadakan simposium keusahawanan selama dua hari bagi memberi pendedahan kepada para usahawan dalam membuat perancangan pemasaran serta mengetahui kaedah bagi mendapat pengiktirafan untuk memasuki pasaran yang lebih besar.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDI, SMIDEC dan sebagainya.


PERLUASKAN JARINGAN


"Kami mendapati para usahawan ini memiliki produk yang amat berkualiti. Sungguhpun mereka yang terpilih ini berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, tetapi mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Abd Jabar.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Abd Jabar, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri. Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Abd Jabar berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran. Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

"Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam. Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak. Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Abd Jabar.


PRODUK DESA 1MALAYSIA

Karnival yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu 24 Julai 2010 itu bukan sahaja untuk usahawan desa, tetapi turut berorientasi penyertaan masyarakat.

Menurut Abd Jabar, KUD 2010 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya. Mereka pasti mengkagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang ia berlangsung, pelbagai acara menarik dirancang. Antaranya ialah persembahan artis terkenal serta 30 demonstrasi tiga produk terbaik pada setiap hari.

"Inilah peluangnya untuk masyarakat melihat dan mendapatkan produk-produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan. Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," kata Abd Jabar.-- BERNAMA

(Temuramah ini dipetik daripada bernama.com dan disiarkan sehari sebelum majlis perasmian KUD 2010 oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment