Tuesday, April 5, 2011

RAKYAT KINI MENIKMATI HASIL NKRA MENERUSI PEMERKASAAN INFRASTRUKTUR ASAS LUAR BANDAR, SHAFIE...




Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada majlis Malam Transformasi Bersama Rakyat: UntukMu Malaysia di Stadium Putra, 27 Mac 2011.


KUALA LUMPUR, (BERNAMA) -- Sejak perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) turut memikul tanggungjawab yang besar memastikan masyarakat luar bandar menerima kemudahan prasarana seperti yang telah dinikmati oleh sebahagian besar masyarakat di negara ini.


Menurut Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, KKLW bertanggungjawab meningkatkan prasarana luar bandar dan pedalaman iaitu dengan penambahbaikan kemudahan infrastuktur asas untuk rakyat.


Fokusnya ialah jalan perhubungan, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan program bantuan rumah, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Shafie menganggap, secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar adalah yang paling mencabar dengan peruntukan terbesar menghampiri RM$18 bilion dan pelaksanaannya akan mengambil masa yang panjang.


"Kita sedar, proses membangunkan prasarana luar bandar melibatkan banyak perkara. Di sebahagian besar Semenanjung, prasarana asasnya telah lengkap. Berbeza di Sabah dan Sarawak yang masih lagi kurang kemudahan bekalan air, elektrik, jalan raya. Malah, ada yang terpaksa naik perahu dan bot kerana tidak ada kemudahan jalan raya."


Ketiadaan jalan raya menghalang usaha penduduk membawa hasil tanaman mereka ke bandar. Ia turut menghalang usaha membekalkan kemudahan elektrik serta air dari pusat pembekal. Malahan menghadkan aktiviti mereka hanya pada waktu siang sahaja.


Selain membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 140,000 rumah, di bawah NKRA, pihaknya juga akan menghubungkan rakyat luar bandar dengan pusat-pusat sosial dan ekonomi dengan membina lebih 7,000 km jalan baru dan yang akan dinaik taraf, menyediakan 50,000 rumah baru dan yang dibaikpulih untuk golongan miskin dan miskin tegar dan lebih 30,000 rumah akan menerima air bersih atau yang dirawat.


Beliau mengakui sasaran yang telah ditetapkan adalah tinggi iaitu membina sebanyak 11 kali ganda panjang jalan raya, 2.5 kali ganda bilangan rumah, menyediakan 5 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan elektrik, serta menghubungkan 7 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan air bersih. Ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun lepas dan dianggarkan akan mencapai sasaran menjelang akhir 2012.


MENCAPAI SASARAN

Fasa pelaksanaan NKRA di bawah KKLW kini telahpun memasuki tahun kedua dengan beberapa sasaran telah pun dicapai dan dapat dinikmati oleh rakyat. Bagi tahun 2010, projek pembinaan jalan raya telah berjaya dibina sepanjang 775.9 km dengan peratus keseluruhan ialah 103 peratus di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia memberi manfaat kepada 500,000 penduduk.


Menjelang Disember 2011, KKLW mensasarkan pembinaan jalan raya sejauh 905.12 km dan sehingga 31 Jan lalu, 207.73 km jalan raya telah pun dibina.


Bagi projek bekalan air bersih, KKLW telah dapat membekalkan air bersih ke 35,291 buah rumah dengan peratusan sebanyak 50 peratus. Dan sasaran hujung tahun ini 5,8087 buah rumah akan menerima bekalan air bersih dan dirawat.


Sebanyak 27,209 buah rumah telah pun menerima bekalan elektrik dengan peratusan sebanyak 107 peratus pada 2010. Bagi tahun ini, sasarannya ialah 26,882 buah rumah bakal menerimanya dan sehingga 31 Jan lepas, ia telah pun berjaya membekalkan elektrik kepada 99 unit rumah.


Manakala seramai 16,926 telah menerima rumah baru dengan peratusan sebanyak 102 peratus. KKLW meletakkan sasaran 2011 sebanyak 9,146 unit dapat disiapkan.


SEMPAT MERASAI NIKMAT PEMBANGUNAN

Bagi Zainab Mat Zain dari Pekan, Pahang berita bantuan perumahan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ke atas keluarganya yang diterima pada Oktober tahun lepas benar-benar memberi sinar baru kepada beliau sekeluarga.


Rumah batu dengan tiga bilik itu siap dibina pada 2 Mac lepas dan Zainab kini hanya menunggu penyambungan bekalan elektrik sebelum dapat berpindah ke rumah tersebut yang terletak hanya 500 meter dari rumahnya.


"Syukur kerana selepas ini dapatlah berlindung dari hujan dan panas di tempat yang lebih selesa, anak pun boleh belajar dengan selesa," katanya.


Sebelum ini, setiap kali hujan, Zainab pasti tidak senang duduk. Rumah kayu yang diduduki bersama suami, Suhaimi Mohd Salleh, 45, dan tiga anaknya sudah terlalu uzur sehingga air hujan menitik masuk melalui lubang-lubang pada atap zink yang sudah rosak.


"Bukan sahaja (atap) bocor, kalau lori besar lalu di atas jalan depan rumah, rumah ini akan bergegar macam nak runtuh," kata Zainab ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ubai.


Rumah yang bakal diduduki keluarga tersebut adalah di bawah program bantuan rumah KKLW yang adalah sebahagian daripada sasaran NKRA untuk menyediakan infrastruktur asas luar bandar kepada rakyat.


Mengikut perangkaan pejabat Bahagian Pembangunan dan Pemantauan Projek KKLW Pahang, sasaran pembinaan serta baik pulih sebanyak 1,343 unit rumah di Pahang pada tahun lepas berjaya dicapai membabitkan peruntukan berjumlah RM$23.5 juta.


Kesemua penerima adalah golongan miskin dan miskin tegar yang dipilih melalui senarai e-kasih.


Sementara itu, tiga lagi program di bawah NKRA kementerian berkenaan iaitu pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik luar bandar di Pahang menunjukkan pencapaian memberangsangkan.


Berdasarkan maklumat pejabat itu, tujuh daripada 15 projek pembinaan jalan luar bandar yang dirancang di seluruh Pahang pada tahun lepas siap dibina.


TINGGAL KENANGAN


Sementara itu, di Tawau, Sabah, penduduk Kampung Balung Cocos tidak lagi perlu menadah air hujan, air sungai dan air mata air bagi memenuhi keperluan harian.


Haji Ophent Blank, 60, dan penduduk kampungnya itu sudah 50 tahun bergantung kepada sumber air berkenaan. Penduduk kampung yang terletak 38 km dari Tawau itu terpaksa mengambil air dari sungai dan mata air dan menggalasnya ke rumah yang jaraknya antara satu dan dua kilometer.


Bagaimanapun, sejak bulan Disember tahun lepas, semua kepahitan itu hanya tinggal kenangan kerana dia dan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Balung Cocos kini menikmati bekalan air bersih hasil projek bekalan air yang disediakan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).


Projek Loji Air Apas Balung dibina di bawah KKLW bernilai RM$51 juta dan pembinaannya bermula pada Disember 2006. Ia berkeupayaan membekalkan 10 juta liter air sehari dan sudahpun beroperasi.


"Projek pemasangan paip ke kawasan Kampung Balung Cocos ini siap sepenuhnya pada Disember 2010. Sehingga ke hari ini, 85 buah rumah sudahpun dipasang dengan meter bekalan air bersih.


"Sebagai penduduk Kampung Balung Cocos, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan," kata Ophent yang juga Pengerusi Koperasi Balung Cocos kepada Bernama.


Menghimbau kembali pengalamannya sebelum memperoleh bekalan air bersih berkenaan, Ophent berkata peristiwa yang dilalui memang pahit kerana penduduk kampung terpaksa meredah kebun dan ladang kelapa sawit untuk sampai ke sungai atau sumber mata air.


Jalan yang dilalui untuk menggalas air pula bukan sahaja tidak bertar malah berbukit yang tentunya memerlukan kekuatan tenaga empat kerat untuk memastikan air boleh sampai ke rumah.


Seorang lagi penduduk Hamrey Hj Aisoh, 48, berkata nikmat bekalan air bersih yang diberikan kerajaan sekarang amat dihargainya kerana penduduk kampung sudah menantikan kemudahan itu lebih 50 tahun lepas.


Menurut Hamrey ketika berada di bangku sekolah rendah hingga selesai sekolah menengah dia dan rakan-rakannya terpaksa bangun awal pagi dan pergi mandi di sungai atau air mata air sebelum pergi sekolah.


Bagaimanapun hari ini, anaknya dan pelajar lain di kampung berkenaan tidak perlu lagi ke sungai untuk mandi kerana air sudah sampai ke rumah masing-masing.


Kalau dahulu penduduk terpaksa membina tandas curah jauh dari rumah dan perlu mengangkut air dalam baldi ketika hendak membuang air namun hari ini banyak rumah sudah dilengkapi dengan tandas pam.


"Saya amat bersyukur kerana dalam usia saya ini, saya masih sempat menikmati bekalan air bersih. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas kemudahan bekalan air ini," katanya. BERNAMA



<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4