Tuesday, October 12, 2010

PELAN INDUK LUAR BANDAR DILANCAR...




Majlis : PELANCARAN INDUK PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (PIPLB), PERHIMPUNAN BESAR JKKK/JKKP DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH DESA CEMERLANG Tempat : Stadium Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur VIP : Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Dato' Seri Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah


UBAH WAJAH LUAR BANDAR, KATA PERDANA MENTERI

Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) hari ini menjadi komitmen baru kerajaan untuk mengubah wajah kawasan pedalaman serta kampung terutama dari segi pembangunan prasarana serta usaha meningkatkan pendapatan penduduknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat kawasan berkenaan dapat dibangunkan sejajar dengan dasar Model Baru Ekonomi (MBE) sekali gus membawa bersama luar bandar dalam arus pembangunan perdana negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kawasan itu dilengkapi dengan prasarana lebih maju selain penduduknya mampu meraih pendapatan tinggi.

‘‘Saya ingin melihat wajah baru di kawasan luar bandar. Saya tidak mahu melihat petani-petani kita dalam keadaan miskin. Carilah kegiatan ekonomi yang ada nilai tinggi kepada mereka.

‘‘Umpamanya jika ada kawasan lapang, jangan jadikan ia tanah terbiar sebaliknya gunakan untuk tingkatkan pendapatan. Kita perlu mencari satu kegiatan yang mampu menjana pendapatan yang tinggi,’’ katanya ketika berucap melancarkan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri 8,000 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta JKKK Persekutuan dari seluruh negara.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; dua timbalannya, Datuk Hassan Malek serta Datuk Joseph Entulu Belaun; Menteri-Menteri Besar serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Abdul Jabar Che Nai.

Terdapat tujuh teras pembangunan luar bandar dalam pelan berkenaan antaranya pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat efektif; pembangunan ekonomi yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan berkesan.

Perdana Menteri turut yakin pelaksanaan pelan berkenaan akan menyerlahkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia dari segi membela nasib penduduk luar bandar.

‘‘Selama ini pun kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dan ia terbukti daripada penubuhan beberapa agensi seperti Mara, Felda, Felcra, RISDA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Agrobank yang semata-mata untuk membantu penduduk luar bandar.

‘‘Atas asas itu saya katakan tidak ada kerajaan di dunia yang ada trek rekod membela nasib penduduk luar bandar seperti dilakukan oleh kerajaan Malaysia,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar merasai limpahan nikmat secara seimbang dan secara menyeluruh hasil pembangunan negara.

Najib sementara itu, sedar dalam usahanya memberi yang terbaik kepada penduduk luar bandar akan terdapat pihak cuba menuding jari menyalahkan kerajaan kerana gagal melengkapkan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar secara keseluruhan.

"Ya, orang akan tuding jari kepada kita. Kampung ini tidak ada jalan lagi. Kampung ini tidak ada bekalan elektrik lagi. Ya, mesti ada saki baki yang belum diselesaikan lagi. ‘‘Mana mungkin dalam masa yang singkat kita melakukan segala-galanya. Tetapi saya percaya bagi kita tempoh 10 tahun akan datang, insya-Allah sebahagian besar agenda ini akan dapat disempurnakan,’’ katanya.

Beliau berkata, pelan itu juga adalah tanda usaha keras kerajaan untuk melengkapkan lagi kemudahan asas di saki baki kampung yang sehingga kini masih belum menerima bekalan air serta elektrik.



PELAN INDUK LUAR BANDAR AGENDA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) adalah fasa lanjutan ke arah melengkapkan agenda pembangunan luar bandar yang belum dipenuhi sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata pelan itu juga membuktikan bahawa kerajaan Malaysia komited memperjuangkan masyarakat di luar bandar untuk memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.

Katanya walaupun kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, sebenarnya program berkenaan menyasarkan kepada rakyat jelata yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat di luar bandar.

"Sebahagain besar peruntukan dan bajet yang kita peruntukkan di bawah GTP adalah untuk prasarana di luar bandar...untuk jalan, bekalan air, bekalan elektrik dan rumah di luar bandar, menelan belanja yang begitu besar.

"Saya kata tidak apa, sebagai Menteri Kewangan, saya kata ini tanggungjawab kerajaan untuk mengubah keadaan hidup masyarakat desa supaya kita dapat mewujudkan sebuah negara di mana dalam pembangunan negara ini, nikmatnya dirasai secara seimbang dan secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) dan perhimpunan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Persekutuan (JKKK/JKKP) di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia mempunyai rekod terbaik dalam pembangunan dan memperjuangkan agenda masyarakat luar bandar berbanding negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat.

Katanya walaupun kadar pendapatan rakyat tidak begitu besar di negara ini, penduduk di luar bandar dan desa masih boleh hidup dengan selesa dengan adanya kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Di Amerika Syarikat umpamanya, kita lihat bagaimana gaya hidup orang kaya di sana tapi kadar penganggurannya mencecah 15 peratus. Kita boleh jadi orang kaya di Amerika Syarikat, mungkin. Tapi kalau kita dalam kumpulan 40 peratus ke bawah, bagaimana keadaan agaknya kehidupan mereka di Amerika Syarikat.

"Kita boleh lihat bahawa kawasan luar bandar di Malaysia kebanyakannya sudahpun mendapat kemudahan-kemudahan asas. Di kawasan luar bandar ada sekolah yang dibina dalam bentuk begitu indah dan ada orang dari luar negara terpegun melihatnya," katanya.

Najib juga berkata kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan pendapatan isi keluarga RM440 ke bawah, sehingga 30 Sept tahun ini, telah menurun sebanyak 49 peratus iaitu daripada 44,643 (Disember 2008) kepada 22,198.

"Kerajaan berazam, menjelang akhir tahun ini, jumlah ini dapat terus dikurangkan lagi, dan apabila 22,000 ini tidak ada lagi sebagai miskin tegar, kita semak balik, kot-kot (mungkin) ada yang lain yang tidak masuk dalam pengkalan data ini.

Kita adakan satu semakan lagi sehingga mereka yang miskin tegar tidak ada lagi di muka bumi Malaysia ini," kata Perdana Menteri.

Sejak 1970, kerajaan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar daripada 58.7 peratus kepada 7.1 peratus (2007) dan daripada jumlah berkenaan, terus berkurangan daripada 5.2 peratus (1990) kepada 1.4 peratus (2007).

Najib juga meminta supaya tidak ada pihak menyalahkan kerajaan kerana terlambat membawa kemajuan di kawasan-kawasan luar bandar dan desa yang tertentu kerana terdapat kekangan-kekangan yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa sebahagian besar daripada agenda pembangunan untuk masyarakat di luar bandar akan dapat dipenuhi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Najib turut menggesa masyarakat di luar bandar agar menceburi kegiatan ekonomi yang boleh menjana pendapatan mereka selain bidang yang dilakukan sekarang.

"Saya ingin melihat wajah baru di kawasan luar bandar. Saya tidak ingin melihat petani-petani kita dalam keadaan miskin.

"Carilah jenis kegiatan ekonomi yang ada nilai tinggi kepada mereka. Umpamanya, kalau ada kawasan lapang, jangan dibiarkan terbiar. Gunakan tanah itu. Yang kita perlu ialah supaya apa jenis yang kita nak libatkan diri, biarlah ada penjanaan pendapatan yang lebih tinggi," katanya.

Perdana Menteri mahu satu pangkalan data yang telah dikemas kini diwujudkan untuk membantu dalam penyelarasan projek dan program pembangunan di setiap kampung di seluruh negara.

"Seperti mana usaha awal dahulu untuk membangunkan kawasan di luar bandar melalui Buku Merah, di mana kalau kita lihat kembali, pada zaman itu, segala butir tentang kampung itu tercatat dalam buku berkenaan kampung itu," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada tiga kampung yang memenangi Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan iaitu Kampung Permatang Duku, Benut, Pontian Johor, Kampung Alor Limbat, Marang, Terengganu dan Kampung Uma Belor, Sungai Asap, Belaga, Kapit, Sarawak.

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) dirangka bagi menyelaras program dan bantuan membasmi kemiskinan di samping membela masyarakat di luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelan itu seterusnya dapat mengelak dan mengatasi masalah pembaziran, kepincangan, pertindihan serta menambah baik sistem penyampaian kepada masyarakat.

"Pelan induk ini dapat menangani isu yang cuba diatasi seperti pertindihan peranan dan tangungjawab, kerana kadang-kadang terdapat pembahagian makanan dan bantuan dari pelbagai kementerian seperti Kesihatan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat... walhal keperluan sebanyak itu membazir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian PIPLB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/Persekutuan (JKKK/JKKP) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari Selasa.

Katanya pelan induk itu dapat dijadikan panduan dalam setiap perancangan dan perlaksanaan oleh semua kementerian dan agensi yang terbabit dengan pembangunan luar bandar di peringkat nasional dan tempatan.

Sementara itu, mengenai saranan Perdana Menteri supaya diwujudkan pangkalan data kampung yang dikemaskini, Mohd Shafie berkata pihaknya sudahpun menjalankan operasi mengumpul maklumat mengenai kampung-kampung di seluruh negara.

Menurutnya sehingga kini pangkalan data mengenai kampung-kampung di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, sudahpun disiapkan.

"Terdapat 15,000 kampung di seluruh negara termasuk di pedalaman dan aktiviti ini sentiasa berjalan, dan kemungkinan data lengkap disiapkan dalam tempoh setahun hingga dua tahun," katanya.

"Sekiranya perlu, data ini boleh dikongsi dengan kementerian-kementerian berkaitan dalam usaha membangunkan luar bandar," tambahnya.

Menurut beliau, pangkalan data yang juga dikenali sebagai Geografical Information System (GIS) dilengkapi dengan maklumat mengenai kawasan itu seperti jumlah penduduk, bilangan rumah, jalan serta kemudahan pendidikan hospital.

Kira-kira 8,000 anggota JKKK/JKKP menghadiri perhimpunan itu.

Terdahulu, Najib dalam ucapan perasmiannya di majlis itu menyarankan satu pangkalan data yang dikemas kini diwujudkan untuk membantu penyelarasan projek dan program pembangunan di setiap kampung di seluruh negara.



TUJUH TERAS PIPL BANTU TINGKAT PENDAPATAN LUAR BANDAR

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertujuan menyediakan garis panduan, hala tuju dan strategi pembangunan luar bandar secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan.

Menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar, kerajaan berhasrat untuk melahirkan masyarakat luar bandar yang progresif, berilmu dan berintegriti serta mewujudkan kawasan luar bandar yang maju dan menarik serta selamat untuk didiami.

Tujuh teras menjadi panduan dalam PIPLB untuk mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar kepada 80 peratus di samping membuka peluang pekerjaan baru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat luat bandar.

PIPLB memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat yang efektif, pembangunan ekonomi berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta pengintegrasian perancangan fizikal dengan program pembangunan luar bandar.

Ia juga memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam menyeluruh dan efisien, peningkatan kualiti hidup dan pendapatan golongan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah, pengurusan sumber alam secara mapan dan pengurusan pembangunan secara bersepadu.

Dalam melahirkan modal insan dan masyarakat yang efektif, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya masyarakat luar bandar memiliki sijil di peringkat menengah atas selain memperluaskan latihan dan kemahiran pelbagai peringkat, bidang dan peluang.

Daripada segi pembangunan ekonomi yang berdaya maju dan berdaya saing, pelaksanaan PIPLB akan mempelbagaikan aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif bagi meningkatkan rantaian antara industri desa dan bandar.

Strategi mengintegrasi pembangunan fizikal melalui projek yang dilaksana kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan mewujudkan tiga kluster yang dicadangkan mengikut klasifikasi perancangan fizikal serta membangunkan projek pembangunan di lokasi yang menepati keperluan kumpulan sasaran.

Selain itu, di bawah PIPLB, kerajaan akan menambah dan membaik pulih infrastruktur, sistem pengangkutan dan kemudahan asas serta meningkatkan projek perkembangan jalur lebar dan teknologi maklumat (ICT).

Bagi meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan golongan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah, PIPLB akan menyediakan perumahan bagi kumpulan rapuh dan miskin tegar serta skim rumah mampu milik, meningkatkan kesedaran kesihatan dan pemakanan seimbang serta memantapkan jaringan keselamatan sosial.

Kumpulan Pemantau Alam Sekitar Luar Bandar akan ditubuhkan untuk memantau, menilai dan melapor segala aktiviti kerosakan alam sekitar.

Audit alam sekitar dilakukan berterusan supaya pencabulan alam dapat dikenakan tindakan selain menggalakkan aktiviti pertanian bio-organik supaya kesan bahan kimia terhadap kualiti tanah dan air dapat dikurangkan.

Sistem pengurusan pembangunan bersepadu pula dibuat bagi mengelak pertindihan fungsi dan tugas agensi.

Majlis Pembangunan Luar Bandar menguruskan bentuk perancangan dan pembangunan luar bandar bagi menyelesaikan masalah dan pertindihan kuasa agensi terbabit.

PIPLB adalah garis panduan yang diwujudkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah sebagai panduan dalam perancangan dan pelaksanaan oleh semua agensi yang terlibat dengan agenda luar bandar di peringkat nasional dan tempatan.



PANGKALAN DATA BASMI KEMISKINAN, SHAFIE

Pangkalan data bagi memudahkan pelaksanaan program pembasmian kemiskinan dan kemiskinan tegar membabitkan 15,000 kampung di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya menjelang 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, buat masa ini pangkalan data kawasan luar bandar di tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sudah siap dilaksanakan.

"Kita menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengemaskinikan dan melengkapkan pangkalan data bagi mengenal pasti jenis bidang ekonomi dan pelan pembangunan yang mahu dibangunkan di semua 15,000 kampung tersebut.

"Setiap kampung mempunyai keperluan serta kesesuaian bidang ekonomi yang berbeza dan kita percaya melalui pangkalan data ini, usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar dan golongan miskin dapat dilaksanakan secara holistik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kementerian tersebut menyiapkan pangkalan data semasa merasmikan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, kewujudan pangkalan data yang komprehensif dapat membantu kerajaan melaksanakan program pembangunan kepada penduduk luar bandar secara sistematik selain mengelak pertindihan tugas antara kementerian.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie mengakui, kekurangan pangkalan data sekarang ini menyebabkan wujud pertindihan antara kementerian dalam melaksanakan program bantuan untuk rakyat termiskin.

"Dalam beberapa kes, kementerian ini sebenarnya sudah memberi bantuan tetapi kemudiannya beberapa kementerian yang lain juga turut memberi bantuan yang sama sehingga keluarga tersebut mendapat lebihan bantuan dan ini kurang efisien kerana kita mahu bantuan diperluas.

"Melalui pangkalan data semua bantuan yang diselaras dan secara tidak langsung menjimatkan wang kerajaan untuk bantuan yang lain pula, kita mahu bantuan itu bersifat memberi pulangan kepada rakyat untuk jangka masa panjang dan bukan sebaliknya," jelasnya.