Sunday, February 27, 2011

ACARA PENTING KKLW


MAJLIS PERJUMPAAN YB DATO' SERI HJ MOHD SHAFIE BIN HJ APDAL MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, PENGARAH- PENGARAH URUSAN & KETUA-KETUA PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN



AMANAT Yb Dato’ Seri Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah pada MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN (SBK) kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah


Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dapat mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan serta Pegawai Kewangan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kalau tidak silap saya ini adalah kali pertama Kementerian menganjurkan perjumpaan seperti ini dalam usaha kita semua memperhebatkan kecemerlangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Saya menaruh harapan yang tinggi pada perjumpaan ini agar kita semua dapat dengan serius membincangkan perkara-perkara yang membabitkan kepentingan syarikat dan Kementerian disamping berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam meningkatkan lagi prestasi dan kecemerlangan syarikat.

Kita sedia maklum bahawa tugas dan tanggungjawab Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah-Pengarah Urusan dan Pegawai-Pegawai Kewangan syarikat amatlah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten. Yang penting bagi kita adalah tanggungjawab dan amanah ini hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan bahawa syarikat terus berdaya maju, berdaya saing dan masih releven dalam konteks perkembangan ekonomi negara ketika ini.

Saya pernah berada dalam kedudukan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, maka yakin dan percayalah bahawa prestasi sesebuah syarikat itu amatlah bergantung sepenuhnya kepada bottom line. Saya juga ingin mengingatkan bahawa “runnning a business entity is not like running a charity organisation.” Maka garisan bawahnya amatlah penting dan kritikal dalam menentukan halatuju syarikat itu, samada ia mampu bertahan dan terus beroperasi dalam iklim ekonomi semasa atau sebaliknya.

Dengan yang demikian, sebagai teraju syarikat-syarikat ini, maka Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan syarikat sebagai keutamaan ketika membuat keputusan dan faktor ini adalah seiringan dengan pencapaian segala objektif penubuhan syarikat.

Kalau ditanya kepada saya bagaimana, saya akan menjawab “i know what to do and i know how to do it” dan saya pasti bahawa Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah memberikan jawapan yang sama apabila soalan itu ditanya kepada kita sebagai ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Kita boleh berbicara mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) atau strategi itu dan strategi ini namun, survival sesebuah syarikat itu bergantung kepada pelbagai faktor, dan yang paling penting ialah kebijaksanaan pengurusan atau kompetensi syarikat-syarikat itu membuat keputusan dan memastikan bahawa keputusan itu akan menentukan bahawa syarikat-syarikat itu terus beroperasi atau tidak dan samada syarikat itu membuat keuntungan ataupun tidak. Tidak ada pertimbangan-pertimbangan lain dalam konteks perniagaan ini.

Justeru, faktor kebijaksanaan dalam menguruskan syarikat ini amatlah berkait rapat dengan ungakapan saya awal tadi bahawa "i know what to do and i know how to do it". Sekiranya tidak,maka "you have no business to be in this business".

Ketika ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempunyai sebanyak 66 syarikat milik Agensi yang juga disebut sebagai Syarikat Berkaitan Kementerian atau (SBK) seperti dan termasuklah Konsortium Baja Nasional, Sinergi Perdana Sdn Bhd dan empat buah lagi syarikat baru yang ditubuhkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Manakala jumlah Modal Berbayar keseluruhan SBK adalah sebanyak RM254.78 juta dengan jumlah keseluruhan perolehan syarikat pada tahun 2010 yang sebanyak RM2.357 bilion berbanding pendapatan syarikat pada tahun 2009 sebanyak RM1.75 bilion. Keuntungan Bersih Syarikat pada tahun 2009 adalah sebanyak RM46.7 juta dan Keuntungan SYarikat Sebelum Cukai pada tahun 2010 sebanyak RM148.07 juta.

Ini adalah perkembangan yang baik yang wajar diteruskan. Angka ini bukanlah sedikit maka dengan itu Kementerian mahu memastikan pelaburan yang besar ini akan mendatangkan hasil lumayan. Hasil yang dimaksudkan bukan sahaja keuntungan material semata-mata tetapi juga tanggungjawab sosial syarikat kepada Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab sosial ini boleh dijadikan sebagai satu agenda utama syarikat selain memastikan syarikat yang berdaya maju dari segi kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

Hari ini peluang perniagaan sememangnya terbentang luas. Persoalannya; Apakah kita sanggup mengambil risiko untuk menerokai bidang-bidang itu? Walaupun dalam masa yang sama, saya akui bahawa setiap pelaburan itu ada risikonya tersendiri.

Namun demikian, sekiranya langkah bijak dan keputusan bijaksana diambil terlebih dahulu termasuk menilai viabiliti setiap projek secara terperinci dan tanpa prejudis dan setelah mengadakan due diligence yang sewajarnya, maka saya yakin dan percaya setiap pelaburan yang dibuat itu pasti akan mendapat pulangan dan keuntungan yang berbaloi kepada syarikat.

Penerokaan baru dalam industri berasaskan tanaman kelapa sawit misalnya, selain terlibat secara rutin dengan kerja-kerja perladangan yang melibatkan Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (MSM), usaha-usaha baru yang dinamik perlu diterokai. Pelbagai rantaian nilai boleh diterokai seperti Nutraceuticals, Oleochemicals, kosmetik, plastik biodegradable dan sebagainya.

Saya juga melihat penubuhan anak-anak syarikat di bawah agensi ini sebagai warisan kecemerlangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kepelbagaian peranan dan objektif penubuhan syarikat sebenarnya merupakan satu sokongan padu dan testimonial kepada pencapaian wawasan negara, khususnya MBE yang menunjurkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sebagai teraju syarikat, peranan ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan adalah tunggak utama kepada pencapaian Pelan Transformasi Ekonomi menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), MBE, RMK-10 dan RMK-11. Justeru, saya berharap kita semua dapat meningkatkan keupayaan syarikat dan sentiasa belajar daripada kesilapan untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat.

Saya memetik kata-kata Sarjana Pengurusan iaitu Alvin Tofler mengenai perkara ini. Alvin Tofler menyatakan bahawa; The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.

Ungkapan ini berkait rapat dengan ciri innovative leader iaitu menerima kesilapan dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu kita akan berusaha untuk menyanggah kebiasaan rutin yang memerangkap diri kita bagi mencapai kecemerlangan. Saya lihat kegagalan kita mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh sikap yang terlalu dogmatik, jumud dan tepu. Justeru, kita perlu berubah ke arah yang lebih positif, lantaran Mistakes Are Motivation dan Mistakes Are A Source of Innovation. Kita juga akur dengan ungkapan bahawa We Learn Through Trial and Error.

Saya suka menarik perhatian Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan kepada beberapa perkara langkah proaktif untuk memantapkan lagi pengurusan syarikat:-

Pertama: Mengurangkan kebergantungan kepada agensi

Kebergantungan syarikat kepada agensi telah menjadikan syarikat berkaitan Kementerian ini kurang kompetitif dan tidak cukup berdaya saing. Penerokaan pelaburan dan pasaran baru perlu diceburi untuk memperoleh dimensi baru dalam perniagaan yang boleh memberi pulangan yang lebih baik dalam usaha business diversification.

Sasaran pemilikan aset juga perlu ditetapkan supaya aktiviti syarikat lebih berdaya saing pada masa hadapan. Misalnya syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti perladangan, sasaran memiliki ladang sendiri sekurang-kurangnya 10,000 hektar perlu ditetapkan supaya pendapatan syarikat tidak hanya bergantung kepada caj pengurusan sahaja tetapi juga mampu berdikari sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan;

Kedua: Mewujudkan Smart Partnership

Syarikat milik agensi perlu mewujudkan rangkaian perkongsian bijak yang mapan meliputi semua bidang perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan Kementerian agensi supaya keuntungan syarikat dapat dioptimakan. Beberapa perkongsian bijak boleh dilakukan khususnya dalam bidang pembekalan Buah Tandan Segar (BTS), perkhidmatan pengangkutan, pembekalan (perbekalan) baja, pendidikan dan rekabentuk produk/pencetakan

Dari segi pembangunan modal insan misalnya, pakatan strategik boleh dilakukan dengan Kolej RISDA, Kolej KETENGAH dan FELCRA Training & Consultancy dengan MARA khususnya dalam bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan yang profesional dan kebolehpasaran. Melahirkan modal insan adalah output nya manakala memasarkan modal insan itu adalah outcome nya.

Begitu juga dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk (DiDec) boleh digunapakai untuk maksud penjenamaan semula syarikat dengan reka bentuk pejabat dan bahan bercetak untuk maksud keseragaman imej syarikat.

Ketiga: Jawatankuasa Audit Syarikat

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah sebagai mekanisma check and balance bagi meningkatkan kawalan dan memelihara kepentingan Kerajaan sebagai pemegang saham. Ia juga dapat membantu Lembaga Pengarah syarikat untuk mengawasi dasar dan sistem perakaunan, kawalan dalaman, laporan kewangan dan etika perniagaan syarikat.

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah selaras dengan Arahan Perbendaharaan bil. 9/93. Jawatankuasa Audit hendaklah dipengerusikan oleh seorang wakil daripada Lembaga Pengarah syarikat. Jawatankuasa Audit ini pula perlu bersidang sekurang-kurang sekali setahun supaya perjalanan pengurusan syarikat dapat dipantau dengan lebih rapi.

Keempat: Melaksanakan kajian due diligence dan dayamaju projek

Kajian due diligence perlulah dibuat ke atas sesebuah projek sebelum dilaksanakan bagi menilai status dayamajunya. Langkah ini adalah perlu supaya setiap pelaburan yang akan dibuat dapat memberi pulangan yang munasabah kepada pemegang saham.

Saya suka mengingatkan bahawa setiap pelaburan yang hendak dilaksanakan perlu diperakukan terlebih dahulu oleh agensi sebagai pemegang saham dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian untuk kelulusan. Ini adalah standard operating procedure bagi sesebuah Syarikat Berkaitan Kementerian atau SBK.

Kelima: Meningkatkan kawalan kredit syarikat

Kawalan kredit hendaklah diperketatkan lagi bagi mengelak bebanan hutang yang akhirnya akan menjadi liabiliti kepada syarikat. Saya percaya bahawa semua yang ada di sini memahami bahawa hutang ragu dan hutang lapuk akan menjejaskan prestasi kewangan syarikat. Perkara ini perlu dipandang serius supaya setiap syarikat tidak dibebani dengan hutang lapuk terutamanya bagi syarikat-syarikat yang baru beroperasi dan hanya mempunyai margin keuntungan yang kecil.

Keenam: Melaksanakan tanggungjawab soSial korporat atau (CSR).

Setiap syarikat perlulah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR dalam membantu membangunkan Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat tidak hanya tertumpu kepada sumbangan dari segi kewangan sahaja. Malah CSR syarikat perlu diperluaskan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar melalui bantuan membangunkan pertanian kontrak, pusat pengumpulan produk pertanian, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan sebagainya.

Akhir kata, saya berharap susulan kepada pertemuan singkat ini akan dapat saya melihat perubahan yang bakal dilakukan oleh pengurusan setiap syarikat. Di peringkat Kementerian, Insya-Allah kita akan terus memberikan komitmen untuk membantu semua syarikat untuk mencipta kecemerlangan.

Kita hendaklah sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan serta cadangan ke arah penambahbaikan. Selagi mana kita berusaha ke arah kebaikan dan kecemerlangan, ia akan dikira oleh ALLAH SWT sebagai ibadah, apatah lagi sebagai sebuah organisasi yang ingin meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar.

Semoga pertemuan ini akan dapat sedikit sebanyak memberikan panduan dan rangsangan untuk kita terus berusaha melahirkan Syarikat Berkaitan Kementerian (SBK) yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


UCAPAN ALUAN Y.BHG DATO’ IBRAHIM BIN MUHAMAD KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH PADA MAJLIS PERJUMPAAN YB MENTERI KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH-PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI-PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH


Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SBWT kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menghadiri Majlis Perjumpaan YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal di atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis ini dan seterusnya menyampaikan amanat kepada para hadirin khususnya semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Majlis ini merupakan kesinambungan kepada perjumpaan YB Dato’ Seri Menteri dengan ketua-ketua eksekutif dan pengarah-pengarah urusan syarikat-syarikat MARA dan RISDA yang pernah diadakan sebelum ini. Istimewanya majlis pada hari ini adalah kerana ia merupakan pertemuan julung kali YB Dato’ Seri Menteri bersama dengan semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Justeru, adalah diharapkan semua hadirin khususnya ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat mengambil maklum dan berusaha untuk merealisasikan segala amanat dan harapan yang akan disampaikan oleh YB Dato’ Seri Menteri sebentar nanti.

Selain itu, hadirin sekalian juga akan didedahkan dengan cabaran dan peluang dalam senario ekonomi semasa oleh penceramah daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau PEMANDU untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing. Majlis ini juga boleh dijadikan wadah kepada semua pihak untuk berkongsi pandangan dan idea untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat masing-masing dan juga menjalin kerjasama atau perkongsian pintar atau smart partnership antara satu dengan lain.

Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Sebagai contoh, jumlah perolehan telah meningkat dari tahun ke tahun di mana dicatat perolehan sebanyak RM996 juta pada tahun 2006 kepada RM1.43 bilion pada 2007.

Juga dicatat adalah perolehan sebanyak RM1.65 bilion pada 2008 dan RM1.75 bilion pada 2009. Keuntungan bersih syarikat-syarikat ini juga telah meningkat daripada RM25.4 juta pada 2006 kepada RM96.5 juta pada 2007.

Walaupun prestasi ini tidak dapat dikekalkan malah telah menurun mulai tahun 2008 tetapi keuntungan bersih syarikat masih pada tahap memberangsangkan iaitu sebanyak RM69.3 juta dan sebanyak RM46.7 juta pada tahun 2009.

Keadaan ini disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, kerugian yang ditanggung oleh syarikat-syarikat milik MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut menyumbang dan telah menjejaskan keuntungan bersih syarikat secara keseluruhan.

Kedudukan keuntungan bersih syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) dijangka meningkat pada tahun 2010 berdasarkan peningkatan harga komoditi pada tahun semasa.

Adalah menjadi harapan kita agar pencapaian syarikat akan berterusan dan lebih baik pada masa akan datang tanpa perlu terlalu bergantung kepada harga pasaran komoditi. Kreativiti dan nilai tambah kepada produk-produk yang dihasilkan hendaklah dipelbagaikan untuk menjamin keupayaan syarikat terus bersaing dan mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Dalam era globalisasi masa kini, pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh syarikat. Justeru, syarikat perlu meningkatkan keupayaan masing-masing agar kekal berdaya-saing dalam bidang perniagaan masing-masing.

Pengenalan era Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Kerajaan yang merangka pelbagai ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan ekonomi Negara dilihat sebagai watershed kepada syarikat untuk merebut semua peluang yang ada bagi meningkatkan pertumbuhan syarikat masing-masing selain daripada membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negara.

Sebagai individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan pengurusan syarikat, ketua-ketua pegawai eksekutif dan Pengarah Urusan hendaklah mengutamakan dan sentiasa meletakkan kepentingan syarikat melebihi kepentingan sendiri. Tugas untuk menerajui sesebuah syarikat merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Sikap positif hendaklah sentiasa diamalkan untuk memastikan wujudnya persekitaran kerja yang lebih sesuai untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan prestasi syarikat. Setiap kerja yang dilaksanakan hendaklah dibuat dengan penuh sense of urgency dengan tidak mengenepikan segala peraturan semasa yang berkuatkuasa khususnya yang melibatkan prosedur pengurusan kewangan. Ini adalah bagi memastikan syarikat tidak menghadapi sebarang masalah terutama sekiranya pengauditan dilakukan.

Saya juga berharap apa yang diperolehi daripada amanat YB Dato’ Seri Menteri dan juga ceramah oleh PEMANDU akan dapat diaplikasikan dalam melaksanakan pengurusan dan operasi syarikat masing-masing ke arah peningkatan yang lebih positif, lebih berjaya dan lebih cemerlang.

Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, sebagai peneraju kepada sesebuah syarikat, kita hendaklah sentiasa bergerak ke hadapan dan bertindak dengan lebih pantas dalam merebut segala peluang untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing.

Akhir sekali lagi saya ingin merakam ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hadir dan seterusnya menyampaikan amanat pada pagi ini.

Sekian, terima kasih.

TAHNIAH DAN SALAM PENGHARGAAN...



KampungKu mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada semua Pegawai Pengurusan Aduan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan jabatan serta agensi dan anak-anak syarikat yang berkaitan Kementerian di atas penghargaan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) di atas prestasi Kementerian menguruskan aduan pada tahun 2010.

Surat bertarikh 14 Februari yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah BPA Dato' Dr Tam Weng Wah itu menyatakan bahawa prestasi Kementerian dalam pengurusan aduan berada pada tahap kecemerlangan, iaitu 99.2 peratus.

Surat ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian itu disertakan di sini untuk tatapan semua.

Kampungku ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Tuan Haji Ahmad Zubir Abdul Ghani yang mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Pengurusan Aduan Kementerian sehingga membolehkan Urusetia Pengurusan Aduan berprestasi tinggi ini. Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian telah mencapai kejayaan ini, Alhamdulillah!

Kampung juga ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Rozita Ibrahim, Pegawai Perhubungan Awam di Unit Komunikasi Korporat (UKK) yang juga Pengawai Pengurus Aduan di Urusetia Pengurusan Aduan, UKK di atas kejayaan cemerlang ini.

Semoga prestasi cemerlang ini akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang ini.