Tuesday, July 19, 2011

TAHNIAH DATUK IBRAHIM DAN HAJI HAMZAH KETENGAH!...

Datuk Ibrahim Muhammad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah



IBRAHIM DAHULUI 259 PENERIMA DARJAH PINGAT KEPUTERAAN TUANKU MIZAN


TERENGGANU
19 Julai - Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad mendahului senarai 259 penerima anugerah darjah kebesaran dan pingat kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-49 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Ibrahim akan menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (SPMT) bersama Ketua Staff Markas, Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed yang membawa gelaran Datuk.


Secara keseluruhan, 30 orang akan dianugerah gelaran itu dalam istiadat di Istana Maziah di sini hari ini, termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi Darjah Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) bersama tiga yang lain.


Turut bakal menerima DSMZ ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Che Zolkples Embong; Ketua Pegawai Selia dan Pengawasan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Abd. Rahim Mohamad.


Seramai 24 individu pula akan menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT), termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri, Noorbahri Baharuddin; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Toh Chin Yaw dan Yahya Khatib Mohamad; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Tuan Mamat Tuan Ngah; Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Mohamad Zaki Hamzah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda.


Juga Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan; Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Aziz Deraman; Pengarah Urusan Novafields Deveploment, Nordin @ Ramlan Ibrahim dan ahli perniagaan, Koh Tat Kim serta Tow Kong Liang.


Nota: Ketengah adalah singkatan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan merupakan satu daripada 10 jabatan dan agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).


Tuesday, April 5, 2011

RAKYAT KINI MENIKMATI HASIL NKRA MENERUSI PEMERKASAAN INFRASTRUKTUR ASAS LUAR BANDAR, SHAFIE...




Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada majlis Malam Transformasi Bersama Rakyat: UntukMu Malaysia di Stadium Putra, 27 Mac 2011.


KUALA LUMPUR, (BERNAMA) -- Sejak perlaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) turut memikul tanggungjawab yang besar memastikan masyarakat luar bandar menerima kemudahan prasarana seperti yang telah dinikmati oleh sebahagian besar masyarakat di negara ini.


Menurut Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, KKLW bertanggungjawab meningkatkan prasarana luar bandar dan pedalaman iaitu dengan penambahbaikan kemudahan infrastuktur asas untuk rakyat.


Fokusnya ialah jalan perhubungan, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan program bantuan rumah, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Shafie menganggap, secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar adalah yang paling mencabar dengan peruntukan terbesar menghampiri RM$18 bilion dan pelaksanaannya akan mengambil masa yang panjang.


"Kita sedar, proses membangunkan prasarana luar bandar melibatkan banyak perkara. Di sebahagian besar Semenanjung, prasarana asasnya telah lengkap. Berbeza di Sabah dan Sarawak yang masih lagi kurang kemudahan bekalan air, elektrik, jalan raya. Malah, ada yang terpaksa naik perahu dan bot kerana tidak ada kemudahan jalan raya."


Ketiadaan jalan raya menghalang usaha penduduk membawa hasil tanaman mereka ke bandar. Ia turut menghalang usaha membekalkan kemudahan elektrik serta air dari pusat pembekal. Malahan menghadkan aktiviti mereka hanya pada waktu siang sahaja.


Selain membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 140,000 rumah, di bawah NKRA, pihaknya juga akan menghubungkan rakyat luar bandar dengan pusat-pusat sosial dan ekonomi dengan membina lebih 7,000 km jalan baru dan yang akan dinaik taraf, menyediakan 50,000 rumah baru dan yang dibaikpulih untuk golongan miskin dan miskin tegar dan lebih 30,000 rumah akan menerima air bersih atau yang dirawat.


Beliau mengakui sasaran yang telah ditetapkan adalah tinggi iaitu membina sebanyak 11 kali ganda panjang jalan raya, 2.5 kali ganda bilangan rumah, menyediakan 5 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan elektrik, serta menghubungkan 7 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan air bersih. Ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun lepas dan dianggarkan akan mencapai sasaran menjelang akhir 2012.


MENCAPAI SASARAN

Fasa pelaksanaan NKRA di bawah KKLW kini telahpun memasuki tahun kedua dengan beberapa sasaran telah pun dicapai dan dapat dinikmati oleh rakyat. Bagi tahun 2010, projek pembinaan jalan raya telah berjaya dibina sepanjang 775.9 km dengan peratus keseluruhan ialah 103 peratus di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia memberi manfaat kepada 500,000 penduduk.


Menjelang Disember 2011, KKLW mensasarkan pembinaan jalan raya sejauh 905.12 km dan sehingga 31 Jan lalu, 207.73 km jalan raya telah pun dibina.


Bagi projek bekalan air bersih, KKLW telah dapat membekalkan air bersih ke 35,291 buah rumah dengan peratusan sebanyak 50 peratus. Dan sasaran hujung tahun ini 5,8087 buah rumah akan menerima bekalan air bersih dan dirawat.


Sebanyak 27,209 buah rumah telah pun menerima bekalan elektrik dengan peratusan sebanyak 107 peratus pada 2010. Bagi tahun ini, sasarannya ialah 26,882 buah rumah bakal menerimanya dan sehingga 31 Jan lepas, ia telah pun berjaya membekalkan elektrik kepada 99 unit rumah.


Manakala seramai 16,926 telah menerima rumah baru dengan peratusan sebanyak 102 peratus. KKLW meletakkan sasaran 2011 sebanyak 9,146 unit dapat disiapkan.


SEMPAT MERASAI NIKMAT PEMBANGUNAN

Bagi Zainab Mat Zain dari Pekan, Pahang berita bantuan perumahan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ke atas keluarganya yang diterima pada Oktober tahun lepas benar-benar memberi sinar baru kepada beliau sekeluarga.


Rumah batu dengan tiga bilik itu siap dibina pada 2 Mac lepas dan Zainab kini hanya menunggu penyambungan bekalan elektrik sebelum dapat berpindah ke rumah tersebut yang terletak hanya 500 meter dari rumahnya.


"Syukur kerana selepas ini dapatlah berlindung dari hujan dan panas di tempat yang lebih selesa, anak pun boleh belajar dengan selesa," katanya.


Sebelum ini, setiap kali hujan, Zainab pasti tidak senang duduk. Rumah kayu yang diduduki bersama suami, Suhaimi Mohd Salleh, 45, dan tiga anaknya sudah terlalu uzur sehingga air hujan menitik masuk melalui lubang-lubang pada atap zink yang sudah rosak.


"Bukan sahaja (atap) bocor, kalau lori besar lalu di atas jalan depan rumah, rumah ini akan bergegar macam nak runtuh," kata Zainab ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ubai.


Rumah yang bakal diduduki keluarga tersebut adalah di bawah program bantuan rumah KKLW yang adalah sebahagian daripada sasaran NKRA untuk menyediakan infrastruktur asas luar bandar kepada rakyat.


Mengikut perangkaan pejabat Bahagian Pembangunan dan Pemantauan Projek KKLW Pahang, sasaran pembinaan serta baik pulih sebanyak 1,343 unit rumah di Pahang pada tahun lepas berjaya dicapai membabitkan peruntukan berjumlah RM$23.5 juta.


Kesemua penerima adalah golongan miskin dan miskin tegar yang dipilih melalui senarai e-kasih.


Sementara itu, tiga lagi program di bawah NKRA kementerian berkenaan iaitu pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik luar bandar di Pahang menunjukkan pencapaian memberangsangkan.


Berdasarkan maklumat pejabat itu, tujuh daripada 15 projek pembinaan jalan luar bandar yang dirancang di seluruh Pahang pada tahun lepas siap dibina.


TINGGAL KENANGAN


Sementara itu, di Tawau, Sabah, penduduk Kampung Balung Cocos tidak lagi perlu menadah air hujan, air sungai dan air mata air bagi memenuhi keperluan harian.


Haji Ophent Blank, 60, dan penduduk kampungnya itu sudah 50 tahun bergantung kepada sumber air berkenaan. Penduduk kampung yang terletak 38 km dari Tawau itu terpaksa mengambil air dari sungai dan mata air dan menggalasnya ke rumah yang jaraknya antara satu dan dua kilometer.


Bagaimanapun, sejak bulan Disember tahun lepas, semua kepahitan itu hanya tinggal kenangan kerana dia dan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Balung Cocos kini menikmati bekalan air bersih hasil projek bekalan air yang disediakan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).


Projek Loji Air Apas Balung dibina di bawah KKLW bernilai RM$51 juta dan pembinaannya bermula pada Disember 2006. Ia berkeupayaan membekalkan 10 juta liter air sehari dan sudahpun beroperasi.


"Projek pemasangan paip ke kawasan Kampung Balung Cocos ini siap sepenuhnya pada Disember 2010. Sehingga ke hari ini, 85 buah rumah sudahpun dipasang dengan meter bekalan air bersih.


"Sebagai penduduk Kampung Balung Cocos, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan," kata Ophent yang juga Pengerusi Koperasi Balung Cocos kepada Bernama.


Menghimbau kembali pengalamannya sebelum memperoleh bekalan air bersih berkenaan, Ophent berkata peristiwa yang dilalui memang pahit kerana penduduk kampung terpaksa meredah kebun dan ladang kelapa sawit untuk sampai ke sungai atau sumber mata air.


Jalan yang dilalui untuk menggalas air pula bukan sahaja tidak bertar malah berbukit yang tentunya memerlukan kekuatan tenaga empat kerat untuk memastikan air boleh sampai ke rumah.


Seorang lagi penduduk Hamrey Hj Aisoh, 48, berkata nikmat bekalan air bersih yang diberikan kerajaan sekarang amat dihargainya kerana penduduk kampung sudah menantikan kemudahan itu lebih 50 tahun lepas.


Menurut Hamrey ketika berada di bangku sekolah rendah hingga selesai sekolah menengah dia dan rakan-rakannya terpaksa bangun awal pagi dan pergi mandi di sungai atau air mata air sebelum pergi sekolah.


Bagaimanapun hari ini, anaknya dan pelajar lain di kampung berkenaan tidak perlu lagi ke sungai untuk mandi kerana air sudah sampai ke rumah masing-masing.


Kalau dahulu penduduk terpaksa membina tandas curah jauh dari rumah dan perlu mengangkut air dalam baldi ketika hendak membuang air namun hari ini banyak rumah sudah dilengkapi dengan tandas pam.


"Saya amat bersyukur kerana dalam usia saya ini, saya masih sempat menikmati bekalan air bersih. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas kemudahan bekalan air ini," katanya. BERNAMA



<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4

Monday, March 14, 2011

NKRA MEDIA BLITZ HEBAH KEJAYAAN KEMENTERIAN...







Kempen Hampir Sebulan Salur Maklumat Kepada Masyarakat

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melancarkan kempen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Media Blitz bertujuan menghebahkan kejayaan dan dasar kementerian kepada segenap lapisan masyarakat. Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata promosi itu membabitkan semua jenis media elektronik, akhbar dan media alternatif termasuk blog bagi menjelaskan kejayaan kementerian dalam mencapai sasaran NKRA sejak tahun lalu. Kempen itu dilancarkan semalam hingga 30 April ini.


“Kita sentiasa berhubung erat dengan media dan memperkuatkan silaturahim dalam memelihara perkongsian pintar antara kementerian dan media di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama pengarang, wartawan dan blogger sempena pelancaran kempen itu di sini, malam tadi.


Hadir sama, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Media Prima, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa NTV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.


Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun dan Datuk Hasan Malek, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Puan Nursiah Arshad, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Kementerian Kemajuan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tuan Haji Ahmad Zubir Abdul Ghani dan ketua-ketua agensi dan jabatan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Mohd Shafie berkata, kementerian berjaya melaksanakan pelbagai pembangunan sepanjang tahun lalu yang amat ketara dan memberi kemudahan kepada rakyat, antaranya membina 775.9 kilometer jalan raya, melepasi sasaran iaitu 751.9 kilometer atau kira-kira 103.7 peratus.


“Untuk bekalan elektrik luar bandar pula, kementerian mampu membekalkan elektrik kepada 27,209 isi rumah, juga mencapai sasaran iaitu 25,312 isi rumah atau kira-kira 107 peratus.


“Untuk tujuan program bantuan perumahan pula, kementerian telah berjaya membina 16,926 rumah mencapai sasaran iaitu 16,626 rumah atau 102 peratus,” katanya.



Sunday, March 6, 2011

KSU dipilih jadi ikon program 'Ke Sekolahku'

Berkaki ayam adalah antara pengalaman kebanyakan pelajar miskin pada zaman awal persekolahan, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kebanyakan negeri pada sekitar tahun 60-an. Ada dalam kalangan mereka terpaksa meredah belukar, menyeberang sungai dan berjalan sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk sampai ke sekolah. Namun, semua pengalaman itu dianggap perkara biasa demi menyahut cabaran mencari ilmu kerana dengan ilmu sahaja mereka mampu berubah.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad adalah antara individu yang pernah merasai pengalaman itu. Bakas pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga (SKPK), Marang, Terengganu ini pernah melalui zaman kesusahan. Namun kesusahan hidup tidak pernah mematikan semangat beliau untuk terus berjaya dalam pelajaran sehingga melayakkan beliau memegang jawatan penting dalam Kerajaan.

Beliau membuktikan pelajar dari sekolah pedalaman juga mampu berjaya. Kemiskinan tidak pernah menjadi alasan untuk tidak menghadirkan diri ke sekolah. Inilah semangat yang harus dicontohi pelajar pedalaman sekarang.

Menyedari pentingnya suntikan semangat kepada pelajar, memberi ilham kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menganjurkan program 'Ke Sekolahku' bertujuan memotivasikan pelajar, terutama yang berada di pedalaman, Inisiatif ke-20 ini adalah sebahagian Program Juara Rakyat, selepas kejayaan YPM melaksanakan 350 program pada tahun 2010.

"Pada saya program seumpama ini adalah sesuatu yang dekat di hati pelajar kerana mereka dapat melihat sendiri contoh anak kampung berjaya yang terdiri daripada orang kampung mereka. Justeru, saya harap lebih banyak usaha seperti ini diadakan dengan mengenalpasti tokoh berwibawa untuk dijadikan contoh kepada anak-anak muda", katanya terharu mengenang zaman lalu dan berpeluang kembali ke sekolah yang berjaya mencorak dirinya sehingga berjaya menjadi individu berjaya.

Ibrahim dipilih untuk dijadikan contoh kepada pelajar SKPK. Sebuah sekolah yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Pulau Kerengga dan kawasan sekitar pada 1947. Abdul Rahman Ismail yang juga dikenali sebagai Mat Sirih adalah guru besar pertama sekolah itu dan juga orang yang bertanggunajawab mengetuai penubuhan sekolah berkenaan.

Peringkat awal sekolah itu hanya menempatkan 50 pelajar dari Kampung Pulau Kerengga dan Serating. Kini pelajarnya berjumlah 368 orang dan dibimbing 31 guru serta disokong empat kakitangan bukan akademik. Sekalipun kecil jumlahnya, namun sekolah itu melakar sejarah tersendiri kerana ada dalam kalangan bekas pelajar mencipta kejayaan tersendiri dalam hidup.

Ibrahim berkata, pendekatan yang digunakan melalui program itu adalah kaedah terbaik dilaksanakan untuk menggalakkan pelajar berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan seterusnya melakar kejayaan dalam hisup.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan YPM berupa wang tunai dan beg sekolah kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam. Demi memantapkan pembelajaran Bahasa Inggeris, 10 buah komputer riba turut disampaikan kepada pihak sekolah untuk memudahkan pembelajaran e-learning. Wang tunai RM5,000 turut disumbangkan oleh YPM kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan YPM akan meneruskan usaha menganjurkan pelbagai program membabitkan sekolah di seluruh Negara untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar Bumiputera di setiap peringkat.

"Ini perlu agar mereka tidak berasa terpinggir dan usaha ini perlu dicontohi oleh agensi lain", katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah YPM. Turut hadir Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Shariff Hamid dan Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.


*disiarkan di dalam Berita Harian halaman 29 pada hari Isnin, 28 Februari 2011.

Sunday, February 27, 2011

ACARA PENTING KKLW


MAJLIS PERJUMPAAN YB DATO' SERI HJ MOHD SHAFIE BIN HJ APDAL MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, PENGARAH- PENGARAH URUSAN & KETUA-KETUA PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN



AMANAT Yb Dato’ Seri Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah pada MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN (SBK) kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah


Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dapat mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan serta Pegawai Kewangan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kalau tidak silap saya ini adalah kali pertama Kementerian menganjurkan perjumpaan seperti ini dalam usaha kita semua memperhebatkan kecemerlangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Saya menaruh harapan yang tinggi pada perjumpaan ini agar kita semua dapat dengan serius membincangkan perkara-perkara yang membabitkan kepentingan syarikat dan Kementerian disamping berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam meningkatkan lagi prestasi dan kecemerlangan syarikat.

Kita sedia maklum bahawa tugas dan tanggungjawab Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah-Pengarah Urusan dan Pegawai-Pegawai Kewangan syarikat amatlah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten. Yang penting bagi kita adalah tanggungjawab dan amanah ini hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan bahawa syarikat terus berdaya maju, berdaya saing dan masih releven dalam konteks perkembangan ekonomi negara ketika ini.

Saya pernah berada dalam kedudukan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, maka yakin dan percayalah bahawa prestasi sesebuah syarikat itu amatlah bergantung sepenuhnya kepada bottom line. Saya juga ingin mengingatkan bahawa “runnning a business entity is not like running a charity organisation.” Maka garisan bawahnya amatlah penting dan kritikal dalam menentukan halatuju syarikat itu, samada ia mampu bertahan dan terus beroperasi dalam iklim ekonomi semasa atau sebaliknya.

Dengan yang demikian, sebagai teraju syarikat-syarikat ini, maka Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan syarikat sebagai keutamaan ketika membuat keputusan dan faktor ini adalah seiringan dengan pencapaian segala objektif penubuhan syarikat.

Kalau ditanya kepada saya bagaimana, saya akan menjawab “i know what to do and i know how to do it” dan saya pasti bahawa Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah memberikan jawapan yang sama apabila soalan itu ditanya kepada kita sebagai ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Kita boleh berbicara mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) atau strategi itu dan strategi ini namun, survival sesebuah syarikat itu bergantung kepada pelbagai faktor, dan yang paling penting ialah kebijaksanaan pengurusan atau kompetensi syarikat-syarikat itu membuat keputusan dan memastikan bahawa keputusan itu akan menentukan bahawa syarikat-syarikat itu terus beroperasi atau tidak dan samada syarikat itu membuat keuntungan ataupun tidak. Tidak ada pertimbangan-pertimbangan lain dalam konteks perniagaan ini.

Justeru, faktor kebijaksanaan dalam menguruskan syarikat ini amatlah berkait rapat dengan ungakapan saya awal tadi bahawa "i know what to do and i know how to do it". Sekiranya tidak,maka "you have no business to be in this business".

Ketika ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempunyai sebanyak 66 syarikat milik Agensi yang juga disebut sebagai Syarikat Berkaitan Kementerian atau (SBK) seperti dan termasuklah Konsortium Baja Nasional, Sinergi Perdana Sdn Bhd dan empat buah lagi syarikat baru yang ditubuhkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Manakala jumlah Modal Berbayar keseluruhan SBK adalah sebanyak RM254.78 juta dengan jumlah keseluruhan perolehan syarikat pada tahun 2010 yang sebanyak RM2.357 bilion berbanding pendapatan syarikat pada tahun 2009 sebanyak RM1.75 bilion. Keuntungan Bersih Syarikat pada tahun 2009 adalah sebanyak RM46.7 juta dan Keuntungan SYarikat Sebelum Cukai pada tahun 2010 sebanyak RM148.07 juta.

Ini adalah perkembangan yang baik yang wajar diteruskan. Angka ini bukanlah sedikit maka dengan itu Kementerian mahu memastikan pelaburan yang besar ini akan mendatangkan hasil lumayan. Hasil yang dimaksudkan bukan sahaja keuntungan material semata-mata tetapi juga tanggungjawab sosial syarikat kepada Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab sosial ini boleh dijadikan sebagai satu agenda utama syarikat selain memastikan syarikat yang berdaya maju dari segi kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

Hari ini peluang perniagaan sememangnya terbentang luas. Persoalannya; Apakah kita sanggup mengambil risiko untuk menerokai bidang-bidang itu? Walaupun dalam masa yang sama, saya akui bahawa setiap pelaburan itu ada risikonya tersendiri.

Namun demikian, sekiranya langkah bijak dan keputusan bijaksana diambil terlebih dahulu termasuk menilai viabiliti setiap projek secara terperinci dan tanpa prejudis dan setelah mengadakan due diligence yang sewajarnya, maka saya yakin dan percaya setiap pelaburan yang dibuat itu pasti akan mendapat pulangan dan keuntungan yang berbaloi kepada syarikat.

Penerokaan baru dalam industri berasaskan tanaman kelapa sawit misalnya, selain terlibat secara rutin dengan kerja-kerja perladangan yang melibatkan Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (MSM), usaha-usaha baru yang dinamik perlu diterokai. Pelbagai rantaian nilai boleh diterokai seperti Nutraceuticals, Oleochemicals, kosmetik, plastik biodegradable dan sebagainya.

Saya juga melihat penubuhan anak-anak syarikat di bawah agensi ini sebagai warisan kecemerlangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kepelbagaian peranan dan objektif penubuhan syarikat sebenarnya merupakan satu sokongan padu dan testimonial kepada pencapaian wawasan negara, khususnya MBE yang menunjurkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sebagai teraju syarikat, peranan ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan adalah tunggak utama kepada pencapaian Pelan Transformasi Ekonomi menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), MBE, RMK-10 dan RMK-11. Justeru, saya berharap kita semua dapat meningkatkan keupayaan syarikat dan sentiasa belajar daripada kesilapan untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat.

Saya memetik kata-kata Sarjana Pengurusan iaitu Alvin Tofler mengenai perkara ini. Alvin Tofler menyatakan bahawa; The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.

Ungkapan ini berkait rapat dengan ciri innovative leader iaitu menerima kesilapan dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu kita akan berusaha untuk menyanggah kebiasaan rutin yang memerangkap diri kita bagi mencapai kecemerlangan. Saya lihat kegagalan kita mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh sikap yang terlalu dogmatik, jumud dan tepu. Justeru, kita perlu berubah ke arah yang lebih positif, lantaran Mistakes Are Motivation dan Mistakes Are A Source of Innovation. Kita juga akur dengan ungkapan bahawa We Learn Through Trial and Error.

Saya suka menarik perhatian Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan kepada beberapa perkara langkah proaktif untuk memantapkan lagi pengurusan syarikat:-

Pertama: Mengurangkan kebergantungan kepada agensi

Kebergantungan syarikat kepada agensi telah menjadikan syarikat berkaitan Kementerian ini kurang kompetitif dan tidak cukup berdaya saing. Penerokaan pelaburan dan pasaran baru perlu diceburi untuk memperoleh dimensi baru dalam perniagaan yang boleh memberi pulangan yang lebih baik dalam usaha business diversification.

Sasaran pemilikan aset juga perlu ditetapkan supaya aktiviti syarikat lebih berdaya saing pada masa hadapan. Misalnya syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti perladangan, sasaran memiliki ladang sendiri sekurang-kurangnya 10,000 hektar perlu ditetapkan supaya pendapatan syarikat tidak hanya bergantung kepada caj pengurusan sahaja tetapi juga mampu berdikari sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan;

Kedua: Mewujudkan Smart Partnership

Syarikat milik agensi perlu mewujudkan rangkaian perkongsian bijak yang mapan meliputi semua bidang perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan Kementerian agensi supaya keuntungan syarikat dapat dioptimakan. Beberapa perkongsian bijak boleh dilakukan khususnya dalam bidang pembekalan Buah Tandan Segar (BTS), perkhidmatan pengangkutan, pembekalan (perbekalan) baja, pendidikan dan rekabentuk produk/pencetakan

Dari segi pembangunan modal insan misalnya, pakatan strategik boleh dilakukan dengan Kolej RISDA, Kolej KETENGAH dan FELCRA Training & Consultancy dengan MARA khususnya dalam bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan yang profesional dan kebolehpasaran. Melahirkan modal insan adalah output nya manakala memasarkan modal insan itu adalah outcome nya.

Begitu juga dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk (DiDec) boleh digunapakai untuk maksud penjenamaan semula syarikat dengan reka bentuk pejabat dan bahan bercetak untuk maksud keseragaman imej syarikat.

Ketiga: Jawatankuasa Audit Syarikat

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah sebagai mekanisma check and balance bagi meningkatkan kawalan dan memelihara kepentingan Kerajaan sebagai pemegang saham. Ia juga dapat membantu Lembaga Pengarah syarikat untuk mengawasi dasar dan sistem perakaunan, kawalan dalaman, laporan kewangan dan etika perniagaan syarikat.

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah selaras dengan Arahan Perbendaharaan bil. 9/93. Jawatankuasa Audit hendaklah dipengerusikan oleh seorang wakil daripada Lembaga Pengarah syarikat. Jawatankuasa Audit ini pula perlu bersidang sekurang-kurang sekali setahun supaya perjalanan pengurusan syarikat dapat dipantau dengan lebih rapi.

Keempat: Melaksanakan kajian due diligence dan dayamaju projek

Kajian due diligence perlulah dibuat ke atas sesebuah projek sebelum dilaksanakan bagi menilai status dayamajunya. Langkah ini adalah perlu supaya setiap pelaburan yang akan dibuat dapat memberi pulangan yang munasabah kepada pemegang saham.

Saya suka mengingatkan bahawa setiap pelaburan yang hendak dilaksanakan perlu diperakukan terlebih dahulu oleh agensi sebagai pemegang saham dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian untuk kelulusan. Ini adalah standard operating procedure bagi sesebuah Syarikat Berkaitan Kementerian atau SBK.

Kelima: Meningkatkan kawalan kredit syarikat

Kawalan kredit hendaklah diperketatkan lagi bagi mengelak bebanan hutang yang akhirnya akan menjadi liabiliti kepada syarikat. Saya percaya bahawa semua yang ada di sini memahami bahawa hutang ragu dan hutang lapuk akan menjejaskan prestasi kewangan syarikat. Perkara ini perlu dipandang serius supaya setiap syarikat tidak dibebani dengan hutang lapuk terutamanya bagi syarikat-syarikat yang baru beroperasi dan hanya mempunyai margin keuntungan yang kecil.

Keenam: Melaksanakan tanggungjawab soSial korporat atau (CSR).

Setiap syarikat perlulah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR dalam membantu membangunkan Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat tidak hanya tertumpu kepada sumbangan dari segi kewangan sahaja. Malah CSR syarikat perlu diperluaskan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar melalui bantuan membangunkan pertanian kontrak, pusat pengumpulan produk pertanian, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan sebagainya.

Akhir kata, saya berharap susulan kepada pertemuan singkat ini akan dapat saya melihat perubahan yang bakal dilakukan oleh pengurusan setiap syarikat. Di peringkat Kementerian, Insya-Allah kita akan terus memberikan komitmen untuk membantu semua syarikat untuk mencipta kecemerlangan.

Kita hendaklah sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan serta cadangan ke arah penambahbaikan. Selagi mana kita berusaha ke arah kebaikan dan kecemerlangan, ia akan dikira oleh ALLAH SWT sebagai ibadah, apatah lagi sebagai sebuah organisasi yang ingin meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar.

Semoga pertemuan ini akan dapat sedikit sebanyak memberikan panduan dan rangsangan untuk kita terus berusaha melahirkan Syarikat Berkaitan Kementerian (SBK) yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


UCAPAN ALUAN Y.BHG DATO’ IBRAHIM BIN MUHAMAD KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH PADA MAJLIS PERJUMPAAN YB MENTERI KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH-PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI-PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH


Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SBWT kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menghadiri Majlis Perjumpaan YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal di atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis ini dan seterusnya menyampaikan amanat kepada para hadirin khususnya semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Majlis ini merupakan kesinambungan kepada perjumpaan YB Dato’ Seri Menteri dengan ketua-ketua eksekutif dan pengarah-pengarah urusan syarikat-syarikat MARA dan RISDA yang pernah diadakan sebelum ini. Istimewanya majlis pada hari ini adalah kerana ia merupakan pertemuan julung kali YB Dato’ Seri Menteri bersama dengan semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Justeru, adalah diharapkan semua hadirin khususnya ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat mengambil maklum dan berusaha untuk merealisasikan segala amanat dan harapan yang akan disampaikan oleh YB Dato’ Seri Menteri sebentar nanti.

Selain itu, hadirin sekalian juga akan didedahkan dengan cabaran dan peluang dalam senario ekonomi semasa oleh penceramah daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau PEMANDU untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing. Majlis ini juga boleh dijadikan wadah kepada semua pihak untuk berkongsi pandangan dan idea untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat masing-masing dan juga menjalin kerjasama atau perkongsian pintar atau smart partnership antara satu dengan lain.

Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Sebagai contoh, jumlah perolehan telah meningkat dari tahun ke tahun di mana dicatat perolehan sebanyak RM996 juta pada tahun 2006 kepada RM1.43 bilion pada 2007.

Juga dicatat adalah perolehan sebanyak RM1.65 bilion pada 2008 dan RM1.75 bilion pada 2009. Keuntungan bersih syarikat-syarikat ini juga telah meningkat daripada RM25.4 juta pada 2006 kepada RM96.5 juta pada 2007.

Walaupun prestasi ini tidak dapat dikekalkan malah telah menurun mulai tahun 2008 tetapi keuntungan bersih syarikat masih pada tahap memberangsangkan iaitu sebanyak RM69.3 juta dan sebanyak RM46.7 juta pada tahun 2009.

Keadaan ini disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, kerugian yang ditanggung oleh syarikat-syarikat milik MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut menyumbang dan telah menjejaskan keuntungan bersih syarikat secara keseluruhan.

Kedudukan keuntungan bersih syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) dijangka meningkat pada tahun 2010 berdasarkan peningkatan harga komoditi pada tahun semasa.

Adalah menjadi harapan kita agar pencapaian syarikat akan berterusan dan lebih baik pada masa akan datang tanpa perlu terlalu bergantung kepada harga pasaran komoditi. Kreativiti dan nilai tambah kepada produk-produk yang dihasilkan hendaklah dipelbagaikan untuk menjamin keupayaan syarikat terus bersaing dan mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Dalam era globalisasi masa kini, pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh syarikat. Justeru, syarikat perlu meningkatkan keupayaan masing-masing agar kekal berdaya-saing dalam bidang perniagaan masing-masing.

Pengenalan era Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Kerajaan yang merangka pelbagai ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan ekonomi Negara dilihat sebagai watershed kepada syarikat untuk merebut semua peluang yang ada bagi meningkatkan pertumbuhan syarikat masing-masing selain daripada membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negara.

Sebagai individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan pengurusan syarikat, ketua-ketua pegawai eksekutif dan Pengarah Urusan hendaklah mengutamakan dan sentiasa meletakkan kepentingan syarikat melebihi kepentingan sendiri. Tugas untuk menerajui sesebuah syarikat merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Sikap positif hendaklah sentiasa diamalkan untuk memastikan wujudnya persekitaran kerja yang lebih sesuai untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan prestasi syarikat. Setiap kerja yang dilaksanakan hendaklah dibuat dengan penuh sense of urgency dengan tidak mengenepikan segala peraturan semasa yang berkuatkuasa khususnya yang melibatkan prosedur pengurusan kewangan. Ini adalah bagi memastikan syarikat tidak menghadapi sebarang masalah terutama sekiranya pengauditan dilakukan.

Saya juga berharap apa yang diperolehi daripada amanat YB Dato’ Seri Menteri dan juga ceramah oleh PEMANDU akan dapat diaplikasikan dalam melaksanakan pengurusan dan operasi syarikat masing-masing ke arah peningkatan yang lebih positif, lebih berjaya dan lebih cemerlang.

Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, sebagai peneraju kepada sesebuah syarikat, kita hendaklah sentiasa bergerak ke hadapan dan bertindak dengan lebih pantas dalam merebut segala peluang untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing.

Akhir sekali lagi saya ingin merakam ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hadir dan seterusnya menyampaikan amanat pada pagi ini.

Sekian, terima kasih.