Sunday, March 6, 2011

KSU dipilih jadi ikon program 'Ke Sekolahku'

Berkaki ayam adalah antara pengalaman kebanyakan pelajar miskin pada zaman awal persekolahan, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kebanyakan negeri pada sekitar tahun 60-an. Ada dalam kalangan mereka terpaksa meredah belukar, menyeberang sungai dan berjalan sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk sampai ke sekolah. Namun, semua pengalaman itu dianggap perkara biasa demi menyahut cabaran mencari ilmu kerana dengan ilmu sahaja mereka mampu berubah.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad adalah antara individu yang pernah merasai pengalaman itu. Bakas pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga (SKPK), Marang, Terengganu ini pernah melalui zaman kesusahan. Namun kesusahan hidup tidak pernah mematikan semangat beliau untuk terus berjaya dalam pelajaran sehingga melayakkan beliau memegang jawatan penting dalam Kerajaan.

Beliau membuktikan pelajar dari sekolah pedalaman juga mampu berjaya. Kemiskinan tidak pernah menjadi alasan untuk tidak menghadirkan diri ke sekolah. Inilah semangat yang harus dicontohi pelajar pedalaman sekarang.

Menyedari pentingnya suntikan semangat kepada pelajar, memberi ilham kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menganjurkan program 'Ke Sekolahku' bertujuan memotivasikan pelajar, terutama yang berada di pedalaman, Inisiatif ke-20 ini adalah sebahagian Program Juara Rakyat, selepas kejayaan YPM melaksanakan 350 program pada tahun 2010.

"Pada saya program seumpama ini adalah sesuatu yang dekat di hati pelajar kerana mereka dapat melihat sendiri contoh anak kampung berjaya yang terdiri daripada orang kampung mereka. Justeru, saya harap lebih banyak usaha seperti ini diadakan dengan mengenalpasti tokoh berwibawa untuk dijadikan contoh kepada anak-anak muda", katanya terharu mengenang zaman lalu dan berpeluang kembali ke sekolah yang berjaya mencorak dirinya sehingga berjaya menjadi individu berjaya.

Ibrahim dipilih untuk dijadikan contoh kepada pelajar SKPK. Sebuah sekolah yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Pulau Kerengga dan kawasan sekitar pada 1947. Abdul Rahman Ismail yang juga dikenali sebagai Mat Sirih adalah guru besar pertama sekolah itu dan juga orang yang bertanggunajawab mengetuai penubuhan sekolah berkenaan.

Peringkat awal sekolah itu hanya menempatkan 50 pelajar dari Kampung Pulau Kerengga dan Serating. Kini pelajarnya berjumlah 368 orang dan dibimbing 31 guru serta disokong empat kakitangan bukan akademik. Sekalipun kecil jumlahnya, namun sekolah itu melakar sejarah tersendiri kerana ada dalam kalangan bekas pelajar mencipta kejayaan tersendiri dalam hidup.

Ibrahim berkata, pendekatan yang digunakan melalui program itu adalah kaedah terbaik dilaksanakan untuk menggalakkan pelajar berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan seterusnya melakar kejayaan dalam hisup.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan YPM berupa wang tunai dan beg sekolah kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam. Demi memantapkan pembelajaran Bahasa Inggeris, 10 buah komputer riba turut disampaikan kepada pihak sekolah untuk memudahkan pembelajaran e-learning. Wang tunai RM5,000 turut disumbangkan oleh YPM kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan YPM akan meneruskan usaha menganjurkan pelbagai program membabitkan sekolah di seluruh Negara untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar Bumiputera di setiap peringkat.

"Ini perlu agar mereka tidak berasa terpinggir dan usaha ini perlu dicontohi oleh agensi lain", katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah YPM. Turut hadir Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Shariff Hamid dan Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.


*disiarkan di dalam Berita Harian halaman 29 pada hari Isnin, 28 Februari 2011.

No comments:

Post a Comment