Monday, August 23, 2010

YPM AKAN TERUS BANTU PELAJAR MISKIN DAN ORANG ASLI LANJUT PELAJARAN - SHAFIE APDAL...



KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan terus memberi biasiswa kepada pelajar bumiputera yang miskin dan Orang Asli di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia selaras dengan komitmen YPM yang mahu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan berkenaan.

"Bantuan biasiswa pendidikan YPM ini secara langsung dapat meringankan beban dan tanggungjawab keluarga mereka yang berpendapatan rendah dan saya berharap apabila pelajar-pelajar menamatkan pengajian mereka di IPT kelak mereka akan membantu ahli keluarga untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, Orang Asli dan golongan ibu tunggal anjuran YPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pada majlis itu, Shafie menyerahkan replika cek berjumlah RM25 juta kepada 69 pelajar yang menerima biasiswa menerusi Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi YPM untuk melanjutkan pengajian mereka.

Jumlah itu adalah bagi menanggung kos pengajian kesemua mereka selama lima tahun iaitu tiga tahun di Malaysia dan dua tahun di Jepun. -- Bernama

Wednesday, August 11, 2010

ORANG ASLI DI MALAYSIA TIDAK DITINDAS - SHAFIE...



KUANTAN, 10 Ogos (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menafikan masyarakat Orang Asli ditindas di negara ini.

Beliau berkata sebaliknya, masyarakat Orang Asli di Malaysia diberi layanan dan perhatian yang lebih baik oleh kerajaan berbanding penduduk asal di negara lain.

"Kalau ada penindasan, tidak akan ada lebih 200 pelajar Orang Asli yang berjaya memasuki universiti, tidak akan ada hospital, klinik bergerak untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di sini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah badan bukan kerajaan melalui laman webnya bahawa berlaku penindasan di kalangan Orang Asli di Malaysia, seperti masalah eksploitasi serta rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta.

Katanya, walaupun terdapat kekurangan dalam rancangan pembangunan Orang Asli, namun kerajaan sedang berusaha ke arah itu.

Sebagai contoh katanya, isu pemilikan tanah Orang Asli juga sedang disusun rapi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri Johor dan Pahang bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954, berkaitan pemilikan tanah masyarakat itu. Bernama

Thursday, August 5, 2010

NKRA KEMENTERIAN LUAR BANDAR MENCAPAI SASARAN...




BANGI, 5 Ogos (Bernama) -- Prestasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah setakat ini berada pada tahap memuaskan apabila semua projek infrastruktur yang dirancang berjalan mengikut jadual, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kita telah menyiapkan 2,496 rumah dan menjangkakan 14 ribu rumah lagi akan siap dibina dalam masa terdekat, menepati sasaran keseluruhan sebanyak 16,620 rumah PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin).

"Begitu juga bekalan air, 10,524 rumah telah dibekalkan dengan air bersih meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia manakala untuk jalan raya, sepanjang 477.8 kilometer jalan telah disiapkan," katanya.

Angka itu membuktikan bahawa segala perancangan kementerian berjalan mengikut sasaran, sekaligus menepati dasar yang ditetapkan dalam NKRA, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian di Institut Kemajuan Desa (INFRA) sini pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual, Mohd Shafie berkata tiada rungutan seumpama itu diterima kementerian setakat ini.

"Sebelum ini adalah sedikit sebanyak (rungutan) yang kita terima tapi di bawah NKRA belum ada lagi. Kalaupun timbul, ia berkaitan dengan mutu kayu atau bahan yang digunakan dan saya telah tekankan supaya menggunakan bahan yang berkualiti selaras dengan kehendak serta piawaian kerajaan," katanya.

Katanya, kontraktor yang bermasalah bagaimanapun telah dikenal pasti dan amaran telah diberikan supaya menggunakan bahan yang berkualiti untuk projek mereka.

"Kita ambil tindakan dan minta buat semula, seperti satu kes di Miri, Sarawak, lantainya berkualiti rendah dan kita minta dia buat semula guna bahan yang berkualiti.

Tapi kes seperti ini tidak banyak berlaku," katanya.

Kontraktor yang bermasalah ini akan disenarai hitamkan daripada sebarang projek kementerian, katanya. -- BERNAMA.


Komen dan Maklumat Tambahan daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah:

Sehingga 30 Jun 2010, Kementerian yang melaksanakan sub-KRA di dalam kerangka Penyediaan Infrastruktur Asas Luar Bandar telah menyiapkan seperti berikut;

PROGRAM BANTUAN RUMAH (PBR) : Sebanyak 2,496 buah rumah telah dibina satau dibaikpulih daripada sasaran pada tahun 2010 iaitu sebanyak 16,626 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 109 buah rumah di Sabah, 1,437 buah rumah di Sarawak dan sejumlah 950 buah rumah di Semenanjung Malaysia.

PROGRAM JALAN LUAR BANDAR (JALB) : Sepanjang 477.8 km jalan telah siap dibina berdasarkan jumlah keseluruhan sasaran tahun 2010 sebanyak 751.9km jalan. Pecahan pencapaian iaitu 171 km di Sabah, 17.1km di Sarawan dan 289.7km di Semenanjung Malaysia

PROGRAM BEKALAN AIR LUAR BANDAR (BALB) : Sebanyak 10,524 buah rumah telah mendapat manfaat bekalan air bersih dan terawat daripada jumlah keseluruhan sasaran pada tahun 2010 iaitu sebanyak 70,181 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 5,789 buah rumah di Sabah, 1,096 buah rumah di Sarawak dan 3,639 buah rumah di Semenanjung Malaysia.

PROJEK BEKALAN ELEKTRIK LUAR BANDAR (BELB) : Sebanyak 2,691 buah rumah telah mendapat manfaat sambungan bekalan elektrik 24 jam daripada sasaran pada tahun 2010 sebanyak 25,312 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 1,476 buah rumah di Sabah dan 1,090 buah rumah di Sarawak dan 125 buah rumah di Semenanjung Malaysia.


Tuesday, August 3, 2010

PENIAGA BARANG TERPAKAI ORANG ASLI TERIMA PREMIS NIAGA DI RENGIT, JOHOR...










KKLW SEDANG TUNAIKAN JANJI BINA RUMAH...


Kerajaan Yakin Dapat Sediakan 16,626 Buah Rumah Untuk Rakyat Miskin Akhir Tahun Ini

GEMAS, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan yakin dapat membina 16,626 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) untuk rakyat miskin menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata tuduhan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak prihatin kepada masalah rakyat seperti yang sering dilaung-laungkan pembangkang adalah tidak tepat.

"Rakyat yang miskin ini bukan sahaja mendapat rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) tetapi kita libatkan juga mereka dengan projek tanaman kelapa sawit, getah dan nanas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PBR Berkelompok Desa E-kasih di Kampung Londah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Program PBR itu membabitkan 50 buah rumah dan kerajaan turut menyediakan projek ekonomi Lembu Fidlot di daerah ini untuk keluarga yang menerima bantuan rumah itu.

Mohd Shafie berkata kerajaan mahu golongan rakyat termiskin ini mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan berbanding RM400 sebulan sebelum ini.

"Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), PBR diperuntukkan RM1.3 bilion bagi pelaksanaan 50,000 unit rumah di seluruh negara pada tempoh 2010 hingga 2012," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pemilik rumah baru PBR di Kampung Londah, Rahimah Rahman, 45, berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan atas bantuan itu.

"Saya dan suami membanting tulang untuk menoreh getah dengan pendapatan RM700 sebulan. Rumah yang kami tinggal pun sudah bocor dan usang sangat untuk dibaiki. Bersyukurlah apabila kerajaan beri rumah macam ini," katanya. -- Bernama