Tuesday, July 20, 2010

JOM KE KARNIVAL USAHAWAN DESA 2010...



Di mana boleh kita jamah Sambal Hitam terkenal dari Kuala Lipis, Pahang sambil pekena Nasi Ulam dengan Gulai Rias Pisang dari Utara tanahair dan mencuba masakan Belangkas dan masakan Ikan Rom?

Ada ke Ikan Rom? Ada, tentu ada…belangkas? Hmmm…

Juga di mana boleh Warga Kota menjamu mata akan Tenun DiRaja Pahang, Kraf Bunga Daun Getah dan Wau Sobek?

Semua ini hanya mungkin dapat direalisasikan di Karnival Usahawan Desa atau KUD 2010 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dari 22 hingga 25 Julai ini, iaitu Khamis sehingga Ahad ini.

Justeru itu, lapangkanlah hujung minggu anda ini untuk ke arena sukan mutakhir negara ini yang menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Terbesar Usahawan Desa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang akan menghimpunkan seramai 500 usahawan dari setiap pelusuk negara, dari semua kampung, desa, ceruk, kubang, parit dan jajahan di sebuah temasya terbesar untuk menyerlahkan Produk dan Perkhidmatan Luar Bandar yang diusahakan oleh Rakyat Kita.

Datanglah beramai-ramai dan tolong bagi tau keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan sahabat handai akan temasya istimewa ini.

Pelbagai program menarik diatur sempena KUD 2010 ini dan antara pengisiannya ialah menyerlahkan empat produk utama iaitu makanan, herba, kraftangan dan perkhidmatan.

Disediakan pelbagai gerai usahawan yang terbabit dalam semua bidang perniagaan – dari masakan dodol sehingga ke pengukir kayu, pembuat sumpit, dandanan diri, seramik, lateks, mencating batik dan bermacam lagi.

Untuk menjamu selera desa penganjur menyediakan ruang untuk pengunjung merasai Kuih Gedung Chak, Kuih Bunga Pudak, Satar, Otak-Otak Muar, Muttabak Lapis Raja, Laksa Johor dan pelbagai lagi juadah yang jarang-jarang ditemui di Ibu Kota kita ini.

Dalam kesibukan berkarnival ini, seramai 500 orang usahawan desa juga terbabit dengan sebuah symposium yang diadakan semasa karnival empat hari ini.

Tiga sesi pengisian akan diadakan yang termasuk Pemiawaian Produk, Akses Kemudahan Laluan dan Pemasaran Produk yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Mara (MARA).

Di sepanjang karnival ini akan diadakan pelbagai demonstrasi masakan, demonstrasi pembikinan kraftangan dan demonstrasi perkhdmatan, pertandingan mewarna, pakaian beragam, auto show dan pengkisahan usahawan berjaya.

Karnival Usahawan Desa KUD 2010 ini akan dirasmikan oleh Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang akan disertai oleh Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jom Kita Meriahkan KUD 2010!!!

No comments:

Post a Comment