Sunday, January 10, 2010

MARTABATKAN YANG HAK, PENCILKAN YANG BATIL...


Walau pahit sekalipun, berkatalah sekiranya ia adalah yang hak. Dan yang batil, usah dipedulikan langsung waima ia laksana halwa telinga.

Agama menyuruh kita berbuat demikian, namun tidak semua kita yang mampu atau mempunyai kudrat untuk lakukannya. Kita tidak menghayati maksud ayat-ayat suci Al-Quran sekiranya kita terlalu lemah untuk melakukannya.

Apabila kita tidak sanggup berkata yang hak, maka wujudlah segelintir kita yang suka berbual mengenai orang lain di belakang orang itu. Dalam erti kata yang lain, mengumpat.

Justeru, wujudnya tabiat mengata orang di belakang kerana kalau berhadapan kita akan takut, gerun dan tidak berupaya membuka mulut walaupun tadi semasa di belakangnya kita terlalu kesumat dan begitu bersemangat mengumpat seseorang itu dan malang sekali ianya dibuat di hadapan sekumpulan orang lain.

Selalunya kita terdengar orang bawahan yang suka mengumpat. Namun, kini muncul pula tabiat mengumpat dan mengeji orang lain laksana sebuah filem Melayu lama dahulu yang menceritakan alkisah sebuah pulau diserang sekumpulan ikan.

Maka si pengumpat (berseorangan atau berkumpulan) muncul sebagai jaguh kandang yang hanya berani dan petah mengumpat seseorang itu di belakangnya lantaran di hadapan orang itu, matanya pun kita tidak sanggup melihat, mulut terkunci dan lidah kelu semuanya kerana tidak kuasa bercakap, berbicara atau mungkin berdiskusi dengan seseorang atau sekumpulan itu.

Hentikanlah sikap keji ini dan kembalilah kepada kewarasan dan sikap yang berlandaskan agama kita.

Sekiranya benar apa yang kita katakan atau hendak katakan, maka berkatalah yang hak walaupun ia pahit, jadilah Hamba Allah yang berani kerana benar, tegas dan telus serta tulus.

Seperkara lagi, JANGANlah dimulakan dan diamalkan politik pejabat di mana-mana sekalipun.

Bahana politik pejabat amatlah azab, boleh membawa kehancuran sesuatu unit, bahagian, jabatan, agensi atau kementerian itu.

Politik pejabat ala berpuak-puak dan bermuka-muka amatlah songsang sifatnya dan hendaklah dihentikan sekiranya sudah diamalkan dan perlu diajalkan kalau ia masih baru hendak menunjukkan kepalanya yang jijik.

Politik pejabat langsung tidak sesuai untuk warga pejabat yang muda dan yang tua, hentikan dan kembalilah ke pangkal jalan agar kita semua sentiasa sejahtera menjalankan tugas dan memikul amanah dan tanggungjawab.

KampungKu mengucapkan Selamat Menjalankan Tugas kepada seluruh Warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan harapan mengunung agar terus membela Rakyat Luar Bandar...

1 Malaysia Bermula Dengan 1Wilayah

No comments:

Post a Comment