Monday, January 4, 2010

IBRAHIM KETUA PENGARAH MARA YANG BARU...


Dato Ibrahim bertemu YB Dato' Seri Mohd Shafie Apdal di KKLW, Isnin 4 Januari 2010

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ingin memaklumkan pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim bin Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Ketua Pengarah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), P.T.D. Gred Utama A, mulai 1 Januari 2010 bagi menggantikan Y.Bhg. Datuk Nam bin Marthinin yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 29 September 2009.

2. Pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim, 55 tahun, dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi dan pembangunan sosial yang diperolehi sepanjang berada dalam perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, beliau telah terlibat dengan pelbagai perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara semasa memegang pelbagai jawatan iaitu:

· Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mulai 11 September 2006;

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2006);

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertanian (2002-2003);
· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik, Kementerian Pertanian (2000-2002);

· Pengarah, Perdagangan Malaysia, Taipei, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1994-1999);

· Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Taiwan, Bahagian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (1991-1994);

· Penolong Pengarah, Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan (1986-1991);

· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Kementerian Kewangan (1982-1985); dan

· Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Khazanah Negara, Kementerian Kewangan (1978-1982).

3. Y.Bhg. Dato’ Ibrahim adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Dubuque, Iowa, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya, serta memulakan perkhidmatan dengan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 November 1978.

4. Kementerian percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau dalam bidang pembangunan dan pengurusan kewangan dan ekonomi akan membolehkan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim mengetuai MARA dalam meneruskan pembangunan sosio-ekonomi bumiputera secara lebih efisyen dan berdaya saing di samping memastikan MARA menyumbang terhadap pencapaian matlamat ‘1Malaysia’, Misi Nasional dan Wawasan 2020.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
31 Disember 2009


No comments:

Post a Comment