Wednesday, August 11, 2010

ORANG ASLI DI MALAYSIA TIDAK DITINDAS - SHAFIE...



KUANTAN, 10 Ogos (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menafikan masyarakat Orang Asli ditindas di negara ini.

Beliau berkata sebaliknya, masyarakat Orang Asli di Malaysia diberi layanan dan perhatian yang lebih baik oleh kerajaan berbanding penduduk asal di negara lain.

"Kalau ada penindasan, tidak akan ada lebih 200 pelajar Orang Asli yang berjaya memasuki universiti, tidak akan ada hospital, klinik bergerak untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di sini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah badan bukan kerajaan melalui laman webnya bahawa berlaku penindasan di kalangan Orang Asli di Malaysia, seperti masalah eksploitasi serta rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta.

Katanya, walaupun terdapat kekurangan dalam rancangan pembangunan Orang Asli, namun kerajaan sedang berusaha ke arah itu.

Sebagai contoh katanya, isu pemilikan tanah Orang Asli juga sedang disusun rapi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri Johor dan Pahang bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954, berkaitan pemilikan tanah masyarakat itu. Bernama

No comments:

Post a Comment