Tuesday, August 3, 2010

KKLW SEDANG TUNAIKAN JANJI BINA RUMAH...


Kerajaan Yakin Dapat Sediakan 16,626 Buah Rumah Untuk Rakyat Miskin Akhir Tahun Ini

GEMAS, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan yakin dapat membina 16,626 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) untuk rakyat miskin menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata tuduhan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak prihatin kepada masalah rakyat seperti yang sering dilaung-laungkan pembangkang adalah tidak tepat.

"Rakyat yang miskin ini bukan sahaja mendapat rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) tetapi kita libatkan juga mereka dengan projek tanaman kelapa sawit, getah dan nanas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan PBR Berkelompok Desa E-kasih di Kampung Londah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Program PBR itu membabitkan 50 buah rumah dan kerajaan turut menyediakan projek ekonomi Lembu Fidlot di daerah ini untuk keluarga yang menerima bantuan rumah itu.

Mohd Shafie berkata kerajaan mahu golongan rakyat termiskin ini mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan berbanding RM400 sebulan sebelum ini.

"Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), PBR diperuntukkan RM1.3 bilion bagi pelaksanaan 50,000 unit rumah di seluruh negara pada tempoh 2010 hingga 2012," katanya.

Sementara itu, seorang daripada pemilik rumah baru PBR di Kampung Londah, Rahimah Rahman, 45, berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan atas bantuan itu.

"Saya dan suami membanting tulang untuk menoreh getah dengan pendapatan RM700 sebulan. Rumah yang kami tinggal pun sudah bocor dan usang sangat untuk dibaiki. Bersyukurlah apabila kerajaan beri rumah macam ini," katanya. -- Bernama



No comments:

Post a Comment