Thursday, August 5, 2010

NKRA KEMENTERIAN LUAR BANDAR MENCAPAI SASARAN...




BANGI, 5 Ogos (Bernama) -- Prestasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah setakat ini berada pada tahap memuaskan apabila semua projek infrastruktur yang dirancang berjalan mengikut jadual, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kita telah menyiapkan 2,496 rumah dan menjangkakan 14 ribu rumah lagi akan siap dibina dalam masa terdekat, menepati sasaran keseluruhan sebanyak 16,620 rumah PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin).

"Begitu juga bekalan air, 10,524 rumah telah dibekalkan dengan air bersih meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia manakala untuk jalan raya, sepanjang 477.8 kilometer jalan telah disiapkan," katanya.

Angka itu membuktikan bahawa segala perancangan kementerian berjalan mengikut sasaran, sekaligus menepati dasar yang ditetapkan dalam NKRA, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian di Institut Kemajuan Desa (INFRA) sini pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual, Mohd Shafie berkata tiada rungutan seumpama itu diterima kementerian setakat ini.

"Sebelum ini adalah sedikit sebanyak (rungutan) yang kita terima tapi di bawah NKRA belum ada lagi. Kalaupun timbul, ia berkaitan dengan mutu kayu atau bahan yang digunakan dan saya telah tekankan supaya menggunakan bahan yang berkualiti selaras dengan kehendak serta piawaian kerajaan," katanya.

Katanya, kontraktor yang bermasalah bagaimanapun telah dikenal pasti dan amaran telah diberikan supaya menggunakan bahan yang berkualiti untuk projek mereka.

"Kita ambil tindakan dan minta buat semula, seperti satu kes di Miri, Sarawak, lantainya berkualiti rendah dan kita minta dia buat semula guna bahan yang berkualiti.

Tapi kes seperti ini tidak banyak berlaku," katanya.

Kontraktor yang bermasalah ini akan disenarai hitamkan daripada sebarang projek kementerian, katanya. -- BERNAMA.


Komen dan Maklumat Tambahan daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah:

Sehingga 30 Jun 2010, Kementerian yang melaksanakan sub-KRA di dalam kerangka Penyediaan Infrastruktur Asas Luar Bandar telah menyiapkan seperti berikut;

PROGRAM BANTUAN RUMAH (PBR) : Sebanyak 2,496 buah rumah telah dibina satau dibaikpulih daripada sasaran pada tahun 2010 iaitu sebanyak 16,626 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 109 buah rumah di Sabah, 1,437 buah rumah di Sarawak dan sejumlah 950 buah rumah di Semenanjung Malaysia.

PROGRAM JALAN LUAR BANDAR (JALB) : Sepanjang 477.8 km jalan telah siap dibina berdasarkan jumlah keseluruhan sasaran tahun 2010 sebanyak 751.9km jalan. Pecahan pencapaian iaitu 171 km di Sabah, 17.1km di Sarawan dan 289.7km di Semenanjung Malaysia

PROGRAM BEKALAN AIR LUAR BANDAR (BALB) : Sebanyak 10,524 buah rumah telah mendapat manfaat bekalan air bersih dan terawat daripada jumlah keseluruhan sasaran pada tahun 2010 iaitu sebanyak 70,181 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 5,789 buah rumah di Sabah, 1,096 buah rumah di Sarawak dan 3,639 buah rumah di Semenanjung Malaysia.

PROJEK BEKALAN ELEKTRIK LUAR BANDAR (BELB) : Sebanyak 2,691 buah rumah telah mendapat manfaat sambungan bekalan elektrik 24 jam daripada sasaran pada tahun 2010 sebanyak 25,312 buah rumah. Pecahan pencapaian iaitu 1,476 buah rumah di Sabah dan 1,090 buah rumah di Sarawak dan 125 buah rumah di Semenanjung Malaysia.


No comments:

Post a Comment