Tuesday, September 7, 2010

SETIAP SEN PERUNTUKKAN DIGUNA UNTUK PROJEK RAKYAT -- SHAFIE...


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Seri Mohd Shafie Apdal meninjau rumah PBR Kampung Air, Semporna bersama-sama dengan Menteri Dato' Nasir Tun Sakaran.






Dato' Seri Mohd Shafie Apdal menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima Elvis Oto Dike. Hadir sama ialah Dato' Nasir Tun Sakaran dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah Puan Nursiah Arshad dan Ketua Eksekutif FELCRA Berhad Tuan Haji Juzilman Basir.



Dato' Seri Mohd Shafie Apdal ditemuramah oleh wartawan mengenai Program Bantuan Rumah di Kampung Air, Semporna yang dilaksanakan oleh FELCRA Berhad dalam masa yang singkat selepas kejadian kebakaran itu. Sebanyak 38 unit PBR siap dibina dan Dato' Seri Mohd Shafie meluluskan sebanyak 12 unit lagi untuk mangsa yang memerlukan.



Kampung Air, Semporna.


SEMPORNA, 6 Sept (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi jaminan bahawa setiap sen peruntukan Kementerian akan dibelanjakan untuk projek rakyat.

Shafie berkata beliau sendiri akan turun padang untuk memantau setiap projek yang telah dikenal pasti di seluruh negara bagi memastikan ianya dilaksanakan seperti dirancang.

"InsyaAllah, setiap peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat termasuk di negeri Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kepada 38 mangsa kebakaran di Kampung Air, Semporna pada 17 Disember lalu di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) pada hari Isnin.


Menurut Shafie sesetengah projek di bawah kementeriannya mungkin kurang diwar-warkan sehingga kurang diketahui rakyat antara projek yang kini dilaksanakan di Sabah seperti jalan di Poring, Ranau dan Menggatal, bekalan elektrik ke Telupid dan tenaga solar di Kinabatangan.

Mengulas mengenai projek PBR untuk mangsa kebakaran di Kampung Air yang turut dilawatinya, Shafie berkata ia merupakan sebahagian projek kementeriannya yang berjaya disiapkan dalam tempoh singkat.

Katanya projek yang menelan kos kira-kira RM3.8 juta berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuk elektrik, air serta sistem kumbahan yang tersusun agar bahan kumbahan tidak tersalur terus ke laut.

Beliau mengingatkan penerima bantuan berkenaan supaya memanfaatkan sepenuhnya rumah mereka dengan tidak menyewakan atau menjualnya kepada pihak lain.

Seorang penerima Jefri Abd Ghani, 39, berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin dengan nasib rakyat sepertinya lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya ini.

Elvis Oto Dike, 48, ayah kepada tiga orang anak pula berkata melalui bantuan berkenaan ia telah meringankan beban keluarganya kerana tidak perlu lagi menyewa rumah seperti lapan bulan lalu.

No comments:

Post a Comment