Wednesday, September 29, 2010

NKRA : HARAPAN BARU BAGI GOLONGAN MISKIN...


Oleh Zukri Valenteno

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, sebuah rumah dengan kemudahan asas merupakan tempat bernaung yang cukup baik bagi seluruh keluarga. Apa sahaja yang lebih daripada ini dianggap sebagai mewah. tetapi bagi mereka di luar bandar, jauh daripada arus utama pembangunan, sebuah rumah tiga bilik yang sangat sederhana bagaikan syurga.


Ini khasnya bagi masyarakat miskin tegar di mana kediaman milik sendiri merupakan langkah pertama dalam melangkah keluar daripada kemiskinan.


Bagi golongan miskin ini, rumah-rumah ini yang disediakan oleh kerajaan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) ini begitu bermakna bagi mereka.


Mereka yang layak mendapat rumah-rumah ini adalah 30,114 rakyat Malaysia yang disenaraikan sebagai miskin tegar sementara 53,025 lagi dikenalpasti sebagai miskin.


KEDIAMAN BARU BAGI YANG MISKIN


Sejak inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diperkenalkan, Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah (KKLW) sehingga hari ini telah menyediakan 2,496 kediaman di bawah PBR, sama ada kediaman baru atau yang diperbaiki dengan sasaran untuk menyediakan sejumlah 16,626 kediaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


Ini adalah sebahagian daripada sasaran 50,000 rumah yang ditetapkan bagi program tiga tahun di bawah program NKRA dengan rumah didirikan di tanah milik negeri atau swasta yang disediakan dengan kemudahan air yang telah dirawat dan bekalan elektrik 24 jam.


Sebuah rumah asas PBR dengan tiga bilik di Semenanjung dianggarkan bernilai RM33,000 sementara di Sabah dan Sarawak nilainya ialah RM43,000.


Sementara di bawah sub-KRA Infrastruktur Asas Luar Bandar, Kementerian akan menyediakan 109 kediaman di Sabah, 1,437 di Sarawak dan 950 di Semenanjung.


DISAMBUT BAIK


Bagi Nuraine Nasir, 37, peserta Program Bantuan Rumah Berkelompok e-Kasih Kampung Londah, Gemas di Negeri Sembilan, kediaman baru beliau lebih selesa daripada pondoknya di Rokan, yang terletak 15 km dari tempatnya sekarang.


"Saya bersyukur sangat dapat rumah ni", kata ibu tunggal dengan tiga anak yang kini menyara hidup dengan menjual minuman sejuk di sekitar kawasan perumahan baru ini yang terletak 10 km dari bandar Gemas.


Beliau adalah kumpulan pertama penduduk miskin tegar yang dengan segera mendapatkan kunci rumah masing-masing selepas Pejabat Daerah memaklumkan yang beliau berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan rumah PBR dengan rumah itu telahpun siap untuk diduduki.


Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal melancarkan program perumahan tersebut pada bulan lepas yang membuka pintu 50 buah rumah yang masing-masing bernilai RM33,000 lengkap dengan bekalan air dan elektrik 24 jam.


Jiran Nuraine, Mohd Isa Ibrahim, 47, berharap dapat mengharungi masa depan lebih baik kerana kebimbangan utamanya iaitu memiliki kediaman sendiri demi lima orang anaknya telahpun dapat ditangani.


"Rumah ni macam syurgo bagi kami orang susah ni. Mano nak dapek rumah percumo kalau kerajaan tak tolong kami", katanya.


Program Bantuan Rumah (PBR) Berkelompok e-Kasih Kampung Londah merupakan satu lagi harapan yang disampaikan oleh Kementerian kepada rakyat, khasnya bagi mereka yang dikenalpasti sebagai miskin tegar dengan objektif utama menyediakan tempat tinggal bagi mereka yang miskin seperti Nuraine dan Azmi.


MENGHUBUNGKAN PENDUDUK DENGAN JALAN


Kementerian juga bertanggungjawab bagi menyediakan jalan-jalan luar bandar di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB), bekalan air yang dirawat di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).


Ini adalah empat daripada sub-KRA dan sasaran masing-masing adalah membina jalan baru sepanjang 7,000 km dan menaiktaraf jalan-jalan bagi penduduk luar bandar, menyampaikan bekalan air bersih bagi 360,000 isirumah dan elektrik bagi 140,000 kediaman dari sekarang hingga 2012.


Selagi yang berkenaan dengan keluarga miskin tegar, pelaksanaan program NKRA membawa harapan baru bagi mereka.


Jika tidak, ia pasti mengambil masa bagi mereka untuk mendapatkan rumah, bekalan air dan elektrik serta jalan yang menghubungkan mereka dengan pusat-pusat ekonomi di kawasan luar bandar.


Sehingga ini, kementerian telah membina jalan sepanjang 477.8 km, yang terdiri daripada 171 km jalan di Sabah, 17.1 km di Sarawak dan 289.7 km di Semenanjung.


Jalan-jalan luar bandar ini akan menghubungkan 91.4 peratus daripada mereka yang tinggal dalam lingkungan 5km dari jalan yang diturap di bawah JALB.


Sehingga ini, Kementerian telah membekalkan air bersih bagi sejumlah 10,524 kediaman daripada sasaran 70,181 rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


Sejumlah 5,789 kediaman di Sabah kini menikmati bekalan air di bawah BALB dengan 1,096 lagi di Sarawak dan sejumlah 3,639 di Semenanjung.


Kementerian membekalkan 2,691 rumah dengan bekalan elektrik 24 jam daripada sasarannya sebanyak 25,312 kediaman pada 2010. Daripada jumlah ini, 1,476 adalah di Sabah, 1,090 di Sarawak dan 125 di Semenanjung.


Projek-projek NKRA yang dilaksanakan oleh Kementerian adalah menerusi kerjasama beberapa bahagian, terutamanya Bahagian Infrastruktur, Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan unit NKRA yang diwujudkan khusus.


MEMETA GOLONGAN MISKIN TEGAR


Bahagian Kesejahteraan Rakyat baru-baru ini melaksanakan langkah memeta taburan golongan miskin tegar dan telah menyenaraikan sejumlah 30,114 rakyat Malaysia sebagai miskin tegar dan 53,025 lagi sebagai miskin sehingga Jun lepas.


Sabah mendahului senarai dengan bilangan miskin tegar paling tinggi di negara iaitu sebanyak 14,184 orang dan 13,669 lagi dikategori sebagai miskin.


Jirannya Sarawak berada di tempat kedua bersama 9,993 miskin tegar dan 13,993 miskin. Di Semenanjung, Kelantan mempunyai bilangan miskin tegar tertinggi 2,357 orang dan 6,285 orang miskin.


Melaka pula negeri dengan bilangan miskin tegar terendah iaitu 25 orang dan 259 orang miskin sementara Labuan tidak mempunyai mereka yang miskin tegar tetapi mendaftar 69 orang sebagai miskin.


Melihatkan usaha-usaha yang diambil oleh kementerian, bilangan miskin tegar dijangka dapat dikurangkan dengan ketara, dan seterusnya menyumbang ke arah mencapai kemiskinan sifar di kalangan rakyat Malaysia.


Sekarang, ada harapan bagi golongan tidak berada.
-- BERNAMA


(Zukri Valenteno ialah Ketua Komunikasi Korporat, Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah. Beliau boleh dihubungi di zukri@rurallink.gov.my)




Artikel ini disiarkan di bernama.com hari ini, 30 sEPTEMBER 2010

No comments:

Post a Comment