Sunday, January 17, 2010

WARTA DESA SALURAN KOMUNIKASI KKLW...

Timbalan Ketua Pengarah MARA Dato' Otman Ahmad adalah antara pegawai kanan Kementerian yang meneliti Warta Desa selepas Mesyuarat Pengurusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Dato' Haji Mohd Nasir Baba tekun meneliti Warta Desa keluaran Disember 2009

Selain daripada blog KampungKu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga mempunyai media tradisional untuk tujuan promosi dan publisiti segala aktiviti dan kegiatan Kementerian, dalam bentuk sisipan bertajuk Warta Desa yang diterbitkan sebulan sekali.

Namun begitu, sasaran spesifik warta ini adalah warga Sabah dan Sarawak yang menjadi antara fokus khusus pelbagai program pembangunan di bawah kerangka Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA.

Warta ini yang mempunyai 16 halaman setiap terbitan dikendalikan oleh Utusan Borneo yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. Syarikat media itu mengkhususkan Encik Koh Kian Leong untuk liputan berita dan berita bergambar.

Sehingga kini Warta Desa merupakan terbitan yang popular di Kementerian.

Wednesday, January 13, 2010

KAUNTER KHIDMAT RAKYAT...


YB Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mengendalikan sendiri Kaunter Khidmat Rakyat di MADA Kodiang, Kedah Sabtu ini, 16 Januari 2010 semasa menghadiri Program Khidmat Masyarakat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Agensi-Agensinya.

Program sehari itu adalah satu pengenalan kepada perkhidmatan kepada rakyat yang seleras dengan konsep Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan anjuran Perdana Menteri YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Rakyat, terutamanya warga Kedah Darul Aman dialu-alukan mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan, memohon surat sokongan dan permohonan bantuan yang dikendalikan oleh Kementerian dan agensi-agensinya.

Kaunter Khidmat Rakyat ini akan dibuka pada pukul 11 pagi untuk selama 3 jam sehingga 1 petang.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memudahcarakan proses pengendalian kaunter ini yang pertama kalinya diadakan oleh Kementerian dalam usaha untuk memudahkan urusan rakyat terutamanya di luar bandar.

Jangan lupa datang ke MADA Kodiang, Kedah Sabtu ini.

Sunday, January 10, 2010

MARTABATKAN YANG HAK, PENCILKAN YANG BATIL...


Walau pahit sekalipun, berkatalah sekiranya ia adalah yang hak. Dan yang batil, usah dipedulikan langsung waima ia laksana halwa telinga.

Agama menyuruh kita berbuat demikian, namun tidak semua kita yang mampu atau mempunyai kudrat untuk lakukannya. Kita tidak menghayati maksud ayat-ayat suci Al-Quran sekiranya kita terlalu lemah untuk melakukannya.

Apabila kita tidak sanggup berkata yang hak, maka wujudlah segelintir kita yang suka berbual mengenai orang lain di belakang orang itu. Dalam erti kata yang lain, mengumpat.

Justeru, wujudnya tabiat mengata orang di belakang kerana kalau berhadapan kita akan takut, gerun dan tidak berupaya membuka mulut walaupun tadi semasa di belakangnya kita terlalu kesumat dan begitu bersemangat mengumpat seseorang itu dan malang sekali ianya dibuat di hadapan sekumpulan orang lain.

Selalunya kita terdengar orang bawahan yang suka mengumpat. Namun, kini muncul pula tabiat mengumpat dan mengeji orang lain laksana sebuah filem Melayu lama dahulu yang menceritakan alkisah sebuah pulau diserang sekumpulan ikan.

Maka si pengumpat (berseorangan atau berkumpulan) muncul sebagai jaguh kandang yang hanya berani dan petah mengumpat seseorang itu di belakangnya lantaran di hadapan orang itu, matanya pun kita tidak sanggup melihat, mulut terkunci dan lidah kelu semuanya kerana tidak kuasa bercakap, berbicara atau mungkin berdiskusi dengan seseorang atau sekumpulan itu.

Hentikanlah sikap keji ini dan kembalilah kepada kewarasan dan sikap yang berlandaskan agama kita.

Sekiranya benar apa yang kita katakan atau hendak katakan, maka berkatalah yang hak walaupun ia pahit, jadilah Hamba Allah yang berani kerana benar, tegas dan telus serta tulus.

Seperkara lagi, JANGANlah dimulakan dan diamalkan politik pejabat di mana-mana sekalipun.

Bahana politik pejabat amatlah azab, boleh membawa kehancuran sesuatu unit, bahagian, jabatan, agensi atau kementerian itu.

Politik pejabat ala berpuak-puak dan bermuka-muka amatlah songsang sifatnya dan hendaklah dihentikan sekiranya sudah diamalkan dan perlu diajalkan kalau ia masih baru hendak menunjukkan kepalanya yang jijik.

Politik pejabat langsung tidak sesuai untuk warga pejabat yang muda dan yang tua, hentikan dan kembalilah ke pangkal jalan agar kita semua sentiasa sejahtera menjalankan tugas dan memikul amanah dan tanggungjawab.

KampungKu mengucapkan Selamat Menjalankan Tugas kepada seluruh Warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan harapan mengunung agar terus membela Rakyat Luar Bandar...

1 Malaysia Bermula Dengan 1Wilayah

Monday, January 4, 2010

IBRAHIM KETUA PENGARAH MARA YANG BARU...


Dato Ibrahim bertemu YB Dato' Seri Mohd Shafie Apdal di KKLW, Isnin 4 Januari 2010

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ingin memaklumkan pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim bin Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Ketua Pengarah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), P.T.D. Gred Utama A, mulai 1 Januari 2010 bagi menggantikan Y.Bhg. Datuk Nam bin Marthinin yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 29 September 2009.

2. Pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim, 55 tahun, dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi dan pembangunan sosial yang diperolehi sepanjang berada dalam perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, beliau telah terlibat dengan pelbagai perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara semasa memegang pelbagai jawatan iaitu:

· Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mulai 11 September 2006;

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2006);

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertanian (2002-2003);
· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik, Kementerian Pertanian (2000-2002);

· Pengarah, Perdagangan Malaysia, Taipei, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1994-1999);

· Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Taiwan, Bahagian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (1991-1994);

· Penolong Pengarah, Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan (1986-1991);

· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Kementerian Kewangan (1982-1985); dan

· Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Khazanah Negara, Kementerian Kewangan (1978-1982).

3. Y.Bhg. Dato’ Ibrahim adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Dubuque, Iowa, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya, serta memulakan perkhidmatan dengan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 November 1978.

4. Kementerian percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau dalam bidang pembangunan dan pengurusan kewangan dan ekonomi akan membolehkan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim mengetuai MARA dalam meneruskan pembangunan sosio-ekonomi bumiputera secara lebih efisyen dan berdaya saing di samping memastikan MARA menyumbang terhadap pencapaian matlamat ‘1Malaysia’, Misi Nasional dan Wawasan 2020.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
31 Disember 2009


Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Warga Unit Komunikasi Korporat dengan sukacitanya mengucapkan Selamat Tahun Baru Masehi 2010 kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang berada di luar bandar dan wilayah.

Kami amat berharap tahun baru ini akan lebih hebat dan mencabar daripada tahun-tahun sebelum ini. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah antara 6 kementerian dipertanggungjawabkan menerajui Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA dan fokus kami adalah Kemudahan Asas Luar Bandar atau Basic Rural Infrastructure (BRI).

Tahun baru ini juga merupakan kesinambungan perlaksanaan NKRA-BRI bagi kami.

Semoga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlangnya di bawah kerangka NKRA-BRI ini disamping terus menerajui pembangunan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selamat Maju Jaya Kepada Semua!

Salam 1Malaysia kerana 1Malaysia Bermula Dari 1Wilayah

Monday, December 21, 2009

BAK KUT TEH HALAL? TIDAK BOLEH MACAM NI...


Penggunaan istilah bak kut teh halal boleh mengelirukan umat Islam di samping bertentangan hukum syarak kerana bercanggah dengan kaedah fiqah yang ditetapkan oleh Islam.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Lokman Abdul Rahman berkata, bak kut teh tidak boleh dianggap halal kerana ia masih mengekalkan penggunaan nama yang haram mengikut hukum Islam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, makanan itu tidak akan mendapat sijil halal berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Jakim.

"Walaupun mereka mungkin akan membuat permohonan, Jakim tidak akan meluluskan makanan bak kut teh halal itu kerana sudah jelas ia tidak mengikut hukum yang telah ditetapkan di dalam Islam.

"Jakim bimbang masyarakat Islam akan salah faham dengan membuat tanggapan bahawa makanan itu sudah halal dimakan jika Jakim memberi pengiktirafan halal," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengenalan bak kut teh halal kepada para pengunjung Karnival Makanan Malaysia 1Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.

Makanan bak kut teh halal itu mengulangi kontroversi yang sama dengan pengenalan 'bir halal' minuman malt tanpa alkohol yang dikenali sebagai Istak di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009) pada 7 Mei lalu.

Berita ini dipetik daripada Utusan Malaysia, 22 Disember 2009.

KampungKu berpendapat ini adalah satu lagi strategi untuk mengurangkan rasa jijik umat Islam kepada benda-benda yang sememangnya haram pada hukum. Nama itu (yang tidak akan diulang sebut di sini) membawa maksud "sup tulang rusuk babi".

Justeru, tiada nama atau istilah berbunyi Melayu yang boleh atau layak dipilih. Hukum syarak sudah tidak dapat menerima, apatah lagi hukum logik akal fikiran.

KampungKu mengharapkan Umat Islam sedar akan perkembangan ini, yang semestinya tidak sihat dan patut didedahkan untuk kepentingan bersama.



Sunday, December 6, 2009

ALHAMDULILLAH...SYUKRAN!



Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Seri Haji Mohd Shafie Hj Apdal dan keluarga telah selamat kembali ke tanahair selepas mengerjakan ibadat haji musim ini. Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.30 pagi Jumaat 4 Disember 2009.

KampungKu mengucapkan alhamdulillah kerana diizinkanNya Pak Menteri dan keluarga mensempornakan rukun Islam kelima dengan selamat dan sejahtera, mudah-mudahan akan sentiasa dibarkatinya.

Syukran!