Sunday, March 6, 2011

KSU dipilih jadi ikon program 'Ke Sekolahku'

Berkaki ayam adalah antara pengalaman kebanyakan pelajar miskin pada zaman awal persekolahan, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kebanyakan negeri pada sekitar tahun 60-an. Ada dalam kalangan mereka terpaksa meredah belukar, menyeberang sungai dan berjalan sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk sampai ke sekolah. Namun, semua pengalaman itu dianggap perkara biasa demi menyahut cabaran mencari ilmu kerana dengan ilmu sahaja mereka mampu berubah.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad adalah antara individu yang pernah merasai pengalaman itu. Bakas pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga (SKPK), Marang, Terengganu ini pernah melalui zaman kesusahan. Namun kesusahan hidup tidak pernah mematikan semangat beliau untuk terus berjaya dalam pelajaran sehingga melayakkan beliau memegang jawatan penting dalam Kerajaan.

Beliau membuktikan pelajar dari sekolah pedalaman juga mampu berjaya. Kemiskinan tidak pernah menjadi alasan untuk tidak menghadirkan diri ke sekolah. Inilah semangat yang harus dicontohi pelajar pedalaman sekarang.

Menyedari pentingnya suntikan semangat kepada pelajar, memberi ilham kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menganjurkan program 'Ke Sekolahku' bertujuan memotivasikan pelajar, terutama yang berada di pedalaman, Inisiatif ke-20 ini adalah sebahagian Program Juara Rakyat, selepas kejayaan YPM melaksanakan 350 program pada tahun 2010.

"Pada saya program seumpama ini adalah sesuatu yang dekat di hati pelajar kerana mereka dapat melihat sendiri contoh anak kampung berjaya yang terdiri daripada orang kampung mereka. Justeru, saya harap lebih banyak usaha seperti ini diadakan dengan mengenalpasti tokoh berwibawa untuk dijadikan contoh kepada anak-anak muda", katanya terharu mengenang zaman lalu dan berpeluang kembali ke sekolah yang berjaya mencorak dirinya sehingga berjaya menjadi individu berjaya.

Ibrahim dipilih untuk dijadikan contoh kepada pelajar SKPK. Sebuah sekolah yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Pulau Kerengga dan kawasan sekitar pada 1947. Abdul Rahman Ismail yang juga dikenali sebagai Mat Sirih adalah guru besar pertama sekolah itu dan juga orang yang bertanggunajawab mengetuai penubuhan sekolah berkenaan.

Peringkat awal sekolah itu hanya menempatkan 50 pelajar dari Kampung Pulau Kerengga dan Serating. Kini pelajarnya berjumlah 368 orang dan dibimbing 31 guru serta disokong empat kakitangan bukan akademik. Sekalipun kecil jumlahnya, namun sekolah itu melakar sejarah tersendiri kerana ada dalam kalangan bekas pelajar mencipta kejayaan tersendiri dalam hidup.

Ibrahim berkata, pendekatan yang digunakan melalui program itu adalah kaedah terbaik dilaksanakan untuk menggalakkan pelajar berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan seterusnya melakar kejayaan dalam hisup.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan YPM berupa wang tunai dan beg sekolah kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam. Demi memantapkan pembelajaran Bahasa Inggeris, 10 buah komputer riba turut disampaikan kepada pihak sekolah untuk memudahkan pembelajaran e-learning. Wang tunai RM5,000 turut disumbangkan oleh YPM kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan YPM akan meneruskan usaha menganjurkan pelbagai program membabitkan sekolah di seluruh Negara untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar Bumiputera di setiap peringkat.

"Ini perlu agar mereka tidak berasa terpinggir dan usaha ini perlu dicontohi oleh agensi lain", katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah YPM. Turut hadir Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Shariff Hamid dan Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.


*disiarkan di dalam Berita Harian halaman 29 pada hari Isnin, 28 Februari 2011.

Sunday, February 27, 2011

ACARA PENTING KKLW


MAJLIS PERJUMPAAN YB DATO' SERI HJ MOHD SHAFIE BIN HJ APDAL MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, PENGARAH- PENGARAH URUSAN & KETUA-KETUA PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN



AMANAT Yb Dato’ Seri Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah pada MAJLIS PERJUMPAAN BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN (SBK) kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah


Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dapat mengadakan Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan serta Pegawai Kewangan Syarikat-Syarikat Berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kalau tidak silap saya ini adalah kali pertama Kementerian menganjurkan perjumpaan seperti ini dalam usaha kita semua memperhebatkan kecemerlangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Saya menaruh harapan yang tinggi pada perjumpaan ini agar kita semua dapat dengan serius membincangkan perkara-perkara yang membabitkan kepentingan syarikat dan Kementerian disamping berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam meningkatkan lagi prestasi dan kecemerlangan syarikat.

Kita sedia maklum bahawa tugas dan tanggungjawab Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah-Pengarah Urusan dan Pegawai-Pegawai Kewangan syarikat amatlah berat dan memerlukan komitmen yang tinggi dan konsisten. Yang penting bagi kita adalah tanggungjawab dan amanah ini hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan bahawa syarikat terus berdaya maju, berdaya saing dan masih releven dalam konteks perkembangan ekonomi negara ketika ini.

Saya pernah berada dalam kedudukan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, maka yakin dan percayalah bahawa prestasi sesebuah syarikat itu amatlah bergantung sepenuhnya kepada bottom line. Saya juga ingin mengingatkan bahawa “runnning a business entity is not like running a charity organisation.” Maka garisan bawahnya amatlah penting dan kritikal dalam menentukan halatuju syarikat itu, samada ia mampu bertahan dan terus beroperasi dalam iklim ekonomi semasa atau sebaliknya.

Dengan yang demikian, sebagai teraju syarikat-syarikat ini, maka Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah sentiasa meletakkan kepentingan syarikat sebagai keutamaan ketika membuat keputusan dan faktor ini adalah seiringan dengan pencapaian segala objektif penubuhan syarikat.

Kalau ditanya kepada saya bagaimana, saya akan menjawab “i know what to do and i know how to do it” dan saya pasti bahawa Tuan-Tuan dan Puan-Puan hendaklah memberikan jawapan yang sama apabila soalan itu ditanya kepada kita sebagai ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini.

Kita boleh berbicara mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) atau strategi itu dan strategi ini namun, survival sesebuah syarikat itu bergantung kepada pelbagai faktor, dan yang paling penting ialah kebijaksanaan pengurusan atau kompetensi syarikat-syarikat itu membuat keputusan dan memastikan bahawa keputusan itu akan menentukan bahawa syarikat-syarikat itu terus beroperasi atau tidak dan samada syarikat itu membuat keuntungan ataupun tidak. Tidak ada pertimbangan-pertimbangan lain dalam konteks perniagaan ini.

Justeru, faktor kebijaksanaan dalam menguruskan syarikat ini amatlah berkait rapat dengan ungakapan saya awal tadi bahawa "i know what to do and i know how to do it". Sekiranya tidak,maka "you have no business to be in this business".

Ketika ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempunyai sebanyak 66 syarikat milik Agensi yang juga disebut sebagai Syarikat Berkaitan Kementerian atau (SBK) seperti dan termasuklah Konsortium Baja Nasional, Sinergi Perdana Sdn Bhd dan empat buah lagi syarikat baru yang ditubuhkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Manakala jumlah Modal Berbayar keseluruhan SBK adalah sebanyak RM254.78 juta dengan jumlah keseluruhan perolehan syarikat pada tahun 2010 yang sebanyak RM2.357 bilion berbanding pendapatan syarikat pada tahun 2009 sebanyak RM1.75 bilion. Keuntungan Bersih Syarikat pada tahun 2009 adalah sebanyak RM46.7 juta dan Keuntungan SYarikat Sebelum Cukai pada tahun 2010 sebanyak RM148.07 juta.

Ini adalah perkembangan yang baik yang wajar diteruskan. Angka ini bukanlah sedikit maka dengan itu Kementerian mahu memastikan pelaburan yang besar ini akan mendatangkan hasil lumayan. Hasil yang dimaksudkan bukan sahaja keuntungan material semata-mata tetapi juga tanggungjawab sosial syarikat kepada Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab sosial ini boleh dijadikan sebagai satu agenda utama syarikat selain memastikan syarikat yang berdaya maju dari segi kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

Hari ini peluang perniagaan sememangnya terbentang luas. Persoalannya; Apakah kita sanggup mengambil risiko untuk menerokai bidang-bidang itu? Walaupun dalam masa yang sama, saya akui bahawa setiap pelaburan itu ada risikonya tersendiri.

Namun demikian, sekiranya langkah bijak dan keputusan bijaksana diambil terlebih dahulu termasuk menilai viabiliti setiap projek secara terperinci dan tanpa prejudis dan setelah mengadakan due diligence yang sewajarnya, maka saya yakin dan percaya setiap pelaburan yang dibuat itu pasti akan mendapat pulangan dan keuntungan yang berbaloi kepada syarikat.

Penerokaan baru dalam industri berasaskan tanaman kelapa sawit misalnya, selain terlibat secara rutin dengan kerja-kerja perladangan yang melibatkan Buah Tandan Segar (BTS) dan Minyak Sawit Mentah (MSM), usaha-usaha baru yang dinamik perlu diterokai. Pelbagai rantaian nilai boleh diterokai seperti Nutraceuticals, Oleochemicals, kosmetik, plastik biodegradable dan sebagainya.

Saya juga melihat penubuhan anak-anak syarikat di bawah agensi ini sebagai warisan kecemerlangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Kepelbagaian peranan dan objektif penubuhan syarikat sebenarnya merupakan satu sokongan padu dan testimonial kepada pencapaian wawasan negara, khususnya MBE yang menunjurkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sebagai teraju syarikat, peranan ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan adalah tunggak utama kepada pencapaian Pelan Transformasi Ekonomi menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), MBE, RMK-10 dan RMK-11. Justeru, saya berharap kita semua dapat meningkatkan keupayaan syarikat dan sentiasa belajar daripada kesilapan untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat.

Saya memetik kata-kata Sarjana Pengurusan iaitu Alvin Tofler mengenai perkara ini. Alvin Tofler menyatakan bahawa; The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.

Ungkapan ini berkait rapat dengan ciri innovative leader iaitu menerima kesilapan dan belajar daripada kesilapan. Dengan itu kita akan berusaha untuk menyanggah kebiasaan rutin yang memerangkap diri kita bagi mencapai kecemerlangan. Saya lihat kegagalan kita mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh sikap yang terlalu dogmatik, jumud dan tepu. Justeru, kita perlu berubah ke arah yang lebih positif, lantaran Mistakes Are Motivation dan Mistakes Are A Source of Innovation. Kita juga akur dengan ungkapan bahawa We Learn Through Trial and Error.

Saya suka menarik perhatian Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan kepada beberapa perkara langkah proaktif untuk memantapkan lagi pengurusan syarikat:-

Pertama: Mengurangkan kebergantungan kepada agensi

Kebergantungan syarikat kepada agensi telah menjadikan syarikat berkaitan Kementerian ini kurang kompetitif dan tidak cukup berdaya saing. Penerokaan pelaburan dan pasaran baru perlu diceburi untuk memperoleh dimensi baru dalam perniagaan yang boleh memberi pulangan yang lebih baik dalam usaha business diversification.

Sasaran pemilikan aset juga perlu ditetapkan supaya aktiviti syarikat lebih berdaya saing pada masa hadapan. Misalnya syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti perladangan, sasaran memiliki ladang sendiri sekurang-kurangnya 10,000 hektar perlu ditetapkan supaya pendapatan syarikat tidak hanya bergantung kepada caj pengurusan sahaja tetapi juga mampu berdikari sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan;

Kedua: Mewujudkan Smart Partnership

Syarikat milik agensi perlu mewujudkan rangkaian perkongsian bijak yang mapan meliputi semua bidang perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan Kementerian agensi supaya keuntungan syarikat dapat dioptimakan. Beberapa perkongsian bijak boleh dilakukan khususnya dalam bidang pembekalan Buah Tandan Segar (BTS), perkhidmatan pengangkutan, pembekalan (perbekalan) baja, pendidikan dan rekabentuk produk/pencetakan

Dari segi pembangunan modal insan misalnya, pakatan strategik boleh dilakukan dengan Kolej RISDA, Kolej KETENGAH dan FELCRA Training & Consultancy dengan MARA khususnya dalam bidang pendidikan untuk melahirkan modal insan yang profesional dan kebolehpasaran. Melahirkan modal insan adalah output nya manakala memasarkan modal insan itu adalah outcome nya.

Begitu juga dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk (DiDec) boleh digunapakai untuk maksud penjenamaan semula syarikat dengan reka bentuk pejabat dan bahan bercetak untuk maksud keseragaman imej syarikat.

Ketiga: Jawatankuasa Audit Syarikat

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah sebagai mekanisma check and balance bagi meningkatkan kawalan dan memelihara kepentingan Kerajaan sebagai pemegang saham. Ia juga dapat membantu Lembaga Pengarah syarikat untuk mengawasi dasar dan sistem perakaunan, kawalan dalaman, laporan kewangan dan etika perniagaan syarikat.

Penubuhan Jawatankuasa Audit adalah selaras dengan Arahan Perbendaharaan bil. 9/93. Jawatankuasa Audit hendaklah dipengerusikan oleh seorang wakil daripada Lembaga Pengarah syarikat. Jawatankuasa Audit ini pula perlu bersidang sekurang-kurang sekali setahun supaya perjalanan pengurusan syarikat dapat dipantau dengan lebih rapi.

Keempat: Melaksanakan kajian due diligence dan dayamaju projek

Kajian due diligence perlulah dibuat ke atas sesebuah projek sebelum dilaksanakan bagi menilai status dayamajunya. Langkah ini adalah perlu supaya setiap pelaburan yang akan dibuat dapat memberi pulangan yang munasabah kepada pemegang saham.

Saya suka mengingatkan bahawa setiap pelaburan yang hendak dilaksanakan perlu diperakukan terlebih dahulu oleh agensi sebagai pemegang saham dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian untuk kelulusan. Ini adalah standard operating procedure bagi sesebuah Syarikat Berkaitan Kementerian atau SBK.

Kelima: Meningkatkan kawalan kredit syarikat

Kawalan kredit hendaklah diperketatkan lagi bagi mengelak bebanan hutang yang akhirnya akan menjadi liabiliti kepada syarikat. Saya percaya bahawa semua yang ada di sini memahami bahawa hutang ragu dan hutang lapuk akan menjejaskan prestasi kewangan syarikat. Perkara ini perlu dipandang serius supaya setiap syarikat tidak dibebani dengan hutang lapuk terutamanya bagi syarikat-syarikat yang baru beroperasi dan hanya mempunyai margin keuntungan yang kecil.

Keenam: Melaksanakan tanggungjawab soSial korporat atau (CSR).

Setiap syarikat perlulah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR dalam membantu membangunkan Masyarakat Luar Bandar.

Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat tidak hanya tertumpu kepada sumbangan dari segi kewangan sahaja. Malah CSR syarikat perlu diperluaskan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar melalui bantuan membangunkan pertanian kontrak, pusat pengumpulan produk pertanian, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan sebagainya.

Akhir kata, saya berharap susulan kepada pertemuan singkat ini akan dapat saya melihat perubahan yang bakal dilakukan oleh pengurusan setiap syarikat. Di peringkat Kementerian, Insya-Allah kita akan terus memberikan komitmen untuk membantu semua syarikat untuk mencipta kecemerlangan.

Kita hendaklah sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan serta cadangan ke arah penambahbaikan. Selagi mana kita berusaha ke arah kebaikan dan kecemerlangan, ia akan dikira oleh ALLAH SWT sebagai ibadah, apatah lagi sebagai sebuah organisasi yang ingin meningkatkan taraf sosio-ekonomi Masyarakat Luar Bandar.

Semoga pertemuan ini akan dapat sedikit sebanyak memberikan panduan dan rangsangan untuk kita terus berusaha melahirkan Syarikat Berkaitan Kementerian (SBK) yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


UCAPAN ALUAN Y.BHG DATO’ IBRAHIM BIN MUHAMAD KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH PADA MAJLIS PERJUMPAAN YB MENTERI KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH BERSAMA KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF/PENGARAH-PENGARAH URUSAN DAN PEGAWAI-PEGAWAI KEWANGAN SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH


Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SBWT kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menghadiri Majlis Perjumpaan YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai-pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal di atas kesudian meluangkan masa menghadiri majlis ini dan seterusnya menyampaikan amanat kepada para hadirin khususnya semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Majlis ini merupakan kesinambungan kepada perjumpaan YB Dato’ Seri Menteri dengan ketua-ketua eksekutif dan pengarah-pengarah urusan syarikat-syarikat MARA dan RISDA yang pernah diadakan sebelum ini. Istimewanya majlis pada hari ini adalah kerana ia merupakan pertemuan julung kali YB Dato’ Seri Menteri bersama dengan semua ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK).

Justeru, adalah diharapkan semua hadirin khususnya ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan dan pegawai kewangan syarikat mengambil maklum dan berusaha untuk merealisasikan segala amanat dan harapan yang akan disampaikan oleh YB Dato’ Seri Menteri sebentar nanti.

Selain itu, hadirin sekalian juga akan didedahkan dengan cabaran dan peluang dalam senario ekonomi semasa oleh penceramah daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau PEMANDU untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing. Majlis ini juga boleh dijadikan wadah kepada semua pihak untuk berkongsi pandangan dan idea untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat masing-masing dan juga menjalin kerjasama atau perkongsian pintar atau smart partnership antara satu dengan lain.

Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) ini telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Sebagai contoh, jumlah perolehan telah meningkat dari tahun ke tahun di mana dicatat perolehan sebanyak RM996 juta pada tahun 2006 kepada RM1.43 bilion pada 2007.

Juga dicatat adalah perolehan sebanyak RM1.65 bilion pada 2008 dan RM1.75 bilion pada 2009. Keuntungan bersih syarikat-syarikat ini juga telah meningkat daripada RM25.4 juta pada 2006 kepada RM96.5 juta pada 2007.

Walaupun prestasi ini tidak dapat dikekalkan malah telah menurun mulai tahun 2008 tetapi keuntungan bersih syarikat masih pada tahap memberangsangkan iaitu sebanyak RM69.3 juta dan sebanyak RM46.7 juta pada tahun 2009.

Keadaan ini disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, kerugian yang ditanggung oleh syarikat-syarikat milik MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut menyumbang dan telah menjejaskan keuntungan bersih syarikat secara keseluruhan.

Kedudukan keuntungan bersih syarikat-syarikat berkaitan Kementerian (SBK) dijangka meningkat pada tahun 2010 berdasarkan peningkatan harga komoditi pada tahun semasa.

Adalah menjadi harapan kita agar pencapaian syarikat akan berterusan dan lebih baik pada masa akan datang tanpa perlu terlalu bergantung kepada harga pasaran komoditi. Kreativiti dan nilai tambah kepada produk-produk yang dihasilkan hendaklah dipelbagaikan untuk menjamin keupayaan syarikat terus bersaing dan mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Dalam era globalisasi masa kini, pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh syarikat. Justeru, syarikat perlu meningkatkan keupayaan masing-masing agar kekal berdaya-saing dalam bidang perniagaan masing-masing.

Pengenalan era Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Kerajaan yang merangka pelbagai ruang dan peluang untuk meningkatkan pendapatan ekonomi Negara dilihat sebagai watershed kepada syarikat untuk merebut semua peluang yang ada bagi meningkatkan pertumbuhan syarikat masing-masing selain daripada membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negara.

Sebagai individu yang bertanggungjawab secara langsung dengan pengurusan syarikat, ketua-ketua pegawai eksekutif dan Pengarah Urusan hendaklah mengutamakan dan sentiasa meletakkan kepentingan syarikat melebihi kepentingan sendiri. Tugas untuk menerajui sesebuah syarikat merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Sikap positif hendaklah sentiasa diamalkan untuk memastikan wujudnya persekitaran kerja yang lebih sesuai untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan prestasi syarikat. Setiap kerja yang dilaksanakan hendaklah dibuat dengan penuh sense of urgency dengan tidak mengenepikan segala peraturan semasa yang berkuatkuasa khususnya yang melibatkan prosedur pengurusan kewangan. Ini adalah bagi memastikan syarikat tidak menghadapi sebarang masalah terutama sekiranya pengauditan dilakukan.

Saya juga berharap apa yang diperolehi daripada amanat YB Dato’ Seri Menteri dan juga ceramah oleh PEMANDU akan dapat diaplikasikan dalam melaksanakan pengurusan dan operasi syarikat masing-masing ke arah peningkatan yang lebih positif, lebih berjaya dan lebih cemerlang.

Sepertimana yang telah dinyatakan tadi, sebagai peneraju kepada sesebuah syarikat, kita hendaklah sentiasa bergerak ke hadapan dan bertindak dengan lebih pantas dalam merebut segala peluang untuk meningkatkan prestasi syarikat masing-masing.

Akhir sekali lagi saya ingin merakam ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hadir dan seterusnya menyampaikan amanat pada pagi ini.

Sekian, terima kasih.

TAHNIAH DAN SALAM PENGHARGAAN...



KampungKu mengucapkan setinggi-tinggi Tahniah kepada semua Pegawai Pengurusan Aduan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan jabatan serta agensi dan anak-anak syarikat yang berkaitan Kementerian di atas penghargaan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) di atas prestasi Kementerian menguruskan aduan pada tahun 2010.

Surat bertarikh 14 Februari yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah BPA Dato' Dr Tam Weng Wah itu menyatakan bahawa prestasi Kementerian dalam pengurusan aduan berada pada tahap kecemerlangan, iaitu 99.2 peratus.

Surat ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian itu disertakan di sini untuk tatapan semua.

Kampungku ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Tuan Haji Ahmad Zubir Abdul Ghani yang mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Pengurusan Aduan Kementerian sehingga membolehkan Urusetia Pengurusan Aduan berprestasi tinggi ini. Di bawah kepimpinan beliau, Kementerian telah mencapai kejayaan ini, Alhamdulillah!

Kampung juga ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Rozita Ibrahim, Pegawai Perhubungan Awam di Unit Komunikasi Korporat (UKK) yang juga Pengawai Pengurus Aduan di Urusetia Pengurusan Aduan, UKK di atas kejayaan cemerlang ini.

Semoga prestasi cemerlang ini akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang ini.


Monday, January 3, 2011

SELAMAT TAHUN BARU...



Selamat Tahun Baru dan Selamat Menjalankan Tugas…


KampungKu ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh Warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di mana jua anda berada dengan harapan agar kita semua akan memulakan dan meneruskan tugas dengan iltizam yang lebih, bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam membela Masyarakat Luar Bandar di negara ini.

Kementerian akan menyingkap tirai 2011 dengan Majlis Penyampaian Amanat YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 10 Januari di Institut Kemajuan Desa atau INFRA. Dijangka beliau akan mengariskan halatuju jangka pendek dan jangka panjang untuk memperhebatkan lagi pelaksanaan amanah dan tanggungjawab Kementerian pada 12 bulan akan datang.

Dan Kementerian masih melaksanakan aktiviti-aktiviti Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA untuk tahun kedua bagi penyediaan Infrastruktur Asas Luar Bandar yang merangkumi Program Bantuan Rumah (PBR), Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) disamping Bidang Keberhasilan Utama Menteri iaitu Pembangunan Masyarakat Orang Asli, Kemajuan Ekonomi Usahawan Bumiputra dan Pekebun Kecil Getah.

KampungKu juga bersemangat untuk menyumbang ke arah peningkatan imej dan profail Kementerian dan untuk tujuan itu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian akan menghadiri retreat tahunan bersama-sama dengan ketua-ketua komunikasi korporat dan pegawai-pegawai perhubungan awam di kementerian, jabatan dan agensi Kementerian di Langkawi selama 3 hari bermula 12 Januari ini.

Selamat Menjalankan Tugas!!


Wednesday, November 24, 2010

KETUA SETIAUSAHA KITA YANG BARU MULAKAN TUGAS...


KSU BARU KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH
.
Y.Bhg Dato' Ibrahim Muhammad mengetip kad perakam waktu menandakan permulaan tugasnya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Bersama-sama beliau adalah Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Encik Ahmad Zubir Abdul Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha I Puan Nursiah Arshad, Timbalan Ketua Setiausaha II Dato' Yussoff Dohab, Setiausaha Bahagian Infrastruktur Puan Zaniah Ahmad dan Pengarah Tugas-Tugas Khas Dato' Nasir Baba


"TAHNIAH DAN SELAMAT BERTUGAS DATO'...". Kunjungan hormat
Ketua Setiausaha Kementerian Y.Bhg Dato' Ibrahim Muhamad
ke atas YB Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal,
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah


"SEDIA UNTUK MENJALANKAN TUGAS" Y.Bhg Dato' Ibrahim Muhammad
Ketua Setiausaha baru Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
di pejabatnya di Aras 9

KUALA LUMPUR. Datuk Ibrahim Muhamad memulakan tugas hari ini sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya di sini.


Beliau tiba di Kementerian dan mengetip kad perakam waktu pada pukul 9.05 pagi. Ketibaan beliau disambut oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha Puan Nursiah Arshad dan Dato' Yussoff Dohab, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Encik Ahmad Zubir Abdul Ghani dan para pegawai kanan Kementerian.



Dato' Ibrahim kemudiannya bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Seri Mohd Shafie Haji Apdal di pejabatnya. Dato' Ibrahim, 56 tahun, menggantikan Datuk Abdul Jabar Che Nai yang bersara wajib pada 22 November 2010 setelah mencapai umur 58 tahun.


Ketua Setiausaha baru ini yang berasal dari Terengganu berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Dubuque, Iowa, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Nov 1978.


Sebelum ini beliau adalah Ketua Pengarah MARA dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan serta perancangan pembangunan. Karier perkhidmatan awamnya bermula sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Kementerian Kewangan pada tahun 1978.


Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Taiwan dari tahun 1991 hingga 1993 sebelum dilantik Pengarah Perdagangan Luar Malaysia, di negara itu dari 1994 hingga 1999.



Dari tahun 1999, beliau adalah Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Industri, Unit Perancang Ekonomi sebelum ditukarkan ke Kementerian Pertanian sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik pada 2000 dan kemudiannya menyandang jawatan Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik, Kementerian Pertanian pada tahun 2000.


Selepas itu beliau adalah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Komoditi dan kemudiannya Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia pada 2002 dan seterusnya sebagai Setiausaha Bahagian Pemantauan dan Penilaian Projek di Kementerian Pertanian dari tahun 2003.


Ibrahim kemudiannya bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras (2004) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2006 hingga 2009 sebelum dilantik Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 1 Jan 2010.


Selamat bertugas Dato' Ibrahim...

Monday, November 8, 2010

RISDA, FELCRA DAN KEDA BANTU MANGSA BAJIR DI KEDAH...


ALOR SETAR, 8 Nov (Bernama) -- Agensi-agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan membantu mangsa-mangsa banjir yang kini teruk melanda Kedah dan Perlis.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Risda dan Felcra misalnya akan membantu dengan segera peneroka-peneroka getah khususnya yang menghadapi masalah tanaman rosak akibat banjir dengan memberi bantuan tanaman semula pertanian manakala Keda pula akan memantau supaya semua rumah yang musnah akibat bencana itu dibaiki semula.

"Kita tidak mahu masyarakat kita berhadapan dengan masalah tempat tinggal dan hilang mata pencarian," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Mohd Shafie melahirkan penghargaan kepada Puncak Niaga Holdings Berhad kerana membekalkan 20 lori air bersih untuk mangsa banjir di sini.

"Saya juga telah menghubungi Tenaga Nasional Berhad supaya bekalan elektrik di kampung-kampung dipulihkan," katanya. -- BERNAMA



Tuesday, October 12, 2010

PELAN INDUK LUAR BANDAR DILANCAR...




Majlis : PELANCARAN INDUK PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (PIPLB), PERHIMPUNAN BESAR JKKK/JKKP DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH DESA CEMERLANG Tempat : Stadium Putra Bukit Jalil Kuala Lumpur VIP : Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Dato' Seri Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah


UBAH WAJAH LUAR BANDAR, KATA PERDANA MENTERI

Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) hari ini menjadi komitmen baru kerajaan untuk mengubah wajah kawasan pedalaman serta kampung terutama dari segi pembangunan prasarana serta usaha meningkatkan pendapatan penduduknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat kawasan berkenaan dapat dibangunkan sejajar dengan dasar Model Baru Ekonomi (MBE) sekali gus membawa bersama luar bandar dalam arus pembangunan perdana negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kawasan itu dilengkapi dengan prasarana lebih maju selain penduduknya mampu meraih pendapatan tinggi.

‘‘Saya ingin melihat wajah baru di kawasan luar bandar. Saya tidak mahu melihat petani-petani kita dalam keadaan miskin. Carilah kegiatan ekonomi yang ada nilai tinggi kepada mereka.

‘‘Umpamanya jika ada kawasan lapang, jangan jadikan ia tanah terbiar sebaliknya gunakan untuk tingkatkan pendapatan. Kita perlu mencari satu kegiatan yang mampu menjana pendapatan yang tinggi,’’ katanya ketika berucap melancarkan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri 8,000 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta JKKK Persekutuan dari seluruh negara.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; dua timbalannya, Datuk Hassan Malek serta Datuk Joseph Entulu Belaun; Menteri-Menteri Besar serta Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Abdul Jabar Che Nai.

Terdapat tujuh teras pembangunan luar bandar dalam pelan berkenaan antaranya pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat efektif; pembangunan ekonomi yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan berkesan.

Perdana Menteri turut yakin pelaksanaan pelan berkenaan akan menyerlahkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia dari segi membela nasib penduduk luar bandar.

‘‘Selama ini pun kerajaan tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar dan ia terbukti daripada penubuhan beberapa agensi seperti Mara, Felda, Felcra, RISDA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Agrobank yang semata-mata untuk membantu penduduk luar bandar.

‘‘Atas asas itu saya katakan tidak ada kerajaan di dunia yang ada trek rekod membela nasib penduduk luar bandar seperti dilakukan oleh kerajaan Malaysia,’’ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar merasai limpahan nikmat secara seimbang dan secara menyeluruh hasil pembangunan negara.

Najib sementara itu, sedar dalam usahanya memberi yang terbaik kepada penduduk luar bandar akan terdapat pihak cuba menuding jari menyalahkan kerajaan kerana gagal melengkapkan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar secara keseluruhan.

"Ya, orang akan tuding jari kepada kita. Kampung ini tidak ada jalan lagi. Kampung ini tidak ada bekalan elektrik lagi. Ya, mesti ada saki baki yang belum diselesaikan lagi. ‘‘Mana mungkin dalam masa yang singkat kita melakukan segala-galanya. Tetapi saya percaya bagi kita tempoh 10 tahun akan datang, insya-Allah sebahagian besar agenda ini akan dapat disempurnakan,’’ katanya.

Beliau berkata, pelan itu juga adalah tanda usaha keras kerajaan untuk melengkapkan lagi kemudahan asas di saki baki kampung yang sehingga kini masih belum menerima bekalan air serta elektrik.



PELAN INDUK LUAR BANDAR AGENDA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) adalah fasa lanjutan ke arah melengkapkan agenda pembangunan luar bandar yang belum dipenuhi sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata pelan itu juga membuktikan bahawa kerajaan Malaysia komited memperjuangkan masyarakat di luar bandar untuk memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.

Katanya walaupun kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, sebenarnya program berkenaan menyasarkan kepada rakyat jelata yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat di luar bandar.

"Sebahagain besar peruntukan dan bajet yang kita peruntukkan di bawah GTP adalah untuk prasarana di luar bandar...untuk jalan, bekalan air, bekalan elektrik dan rumah di luar bandar, menelan belanja yang begitu besar.

"Saya kata tidak apa, sebagai Menteri Kewangan, saya kata ini tanggungjawab kerajaan untuk mengubah keadaan hidup masyarakat desa supaya kita dapat mewujudkan sebuah negara di mana dalam pembangunan negara ini, nikmatnya dirasai secara seimbang dan secara menyeluruh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) dan perhimpunan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Persekutuan (JKKK/JKKP) di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia mempunyai rekod terbaik dalam pembangunan dan memperjuangkan agenda masyarakat luar bandar berbanding negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat.

Katanya walaupun kadar pendapatan rakyat tidak begitu besar di negara ini, penduduk di luar bandar dan desa masih boleh hidup dengan selesa dengan adanya kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Di Amerika Syarikat umpamanya, kita lihat bagaimana gaya hidup orang kaya di sana tapi kadar penganggurannya mencecah 15 peratus. Kita boleh jadi orang kaya di Amerika Syarikat, mungkin. Tapi kalau kita dalam kumpulan 40 peratus ke bawah, bagaimana keadaan agaknya kehidupan mereka di Amerika Syarikat.

"Kita boleh lihat bahawa kawasan luar bandar di Malaysia kebanyakannya sudahpun mendapat kemudahan-kemudahan asas. Di kawasan luar bandar ada sekolah yang dibina dalam bentuk begitu indah dan ada orang dari luar negara terpegun melihatnya," katanya.

Najib juga berkata kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan pendapatan isi keluarga RM440 ke bawah, sehingga 30 Sept tahun ini, telah menurun sebanyak 49 peratus iaitu daripada 44,643 (Disember 2008) kepada 22,198.

"Kerajaan berazam, menjelang akhir tahun ini, jumlah ini dapat terus dikurangkan lagi, dan apabila 22,000 ini tidak ada lagi sebagai miskin tegar, kita semak balik, kot-kot (mungkin) ada yang lain yang tidak masuk dalam pengkalan data ini.

Kita adakan satu semakan lagi sehingga mereka yang miskin tegar tidak ada lagi di muka bumi Malaysia ini," kata Perdana Menteri.

Sejak 1970, kerajaan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar daripada 58.7 peratus kepada 7.1 peratus (2007) dan daripada jumlah berkenaan, terus berkurangan daripada 5.2 peratus (1990) kepada 1.4 peratus (2007).

Najib juga meminta supaya tidak ada pihak menyalahkan kerajaan kerana terlambat membawa kemajuan di kawasan-kawasan luar bandar dan desa yang tertentu kerana terdapat kekangan-kekangan yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa sebahagian besar daripada agenda pembangunan untuk masyarakat di luar bandar akan dapat dipenuhi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Najib turut menggesa masyarakat di luar bandar agar menceburi kegiatan ekonomi yang boleh menjana pendapatan mereka selain bidang yang dilakukan sekarang.

"Saya ingin melihat wajah baru di kawasan luar bandar. Saya tidak ingin melihat petani-petani kita dalam keadaan miskin.

"Carilah jenis kegiatan ekonomi yang ada nilai tinggi kepada mereka. Umpamanya, kalau ada kawasan lapang, jangan dibiarkan terbiar. Gunakan tanah itu. Yang kita perlu ialah supaya apa jenis yang kita nak libatkan diri, biarlah ada penjanaan pendapatan yang lebih tinggi," katanya.

Perdana Menteri mahu satu pangkalan data yang telah dikemas kini diwujudkan untuk membantu dalam penyelarasan projek dan program pembangunan di setiap kampung di seluruh negara.

"Seperti mana usaha awal dahulu untuk membangunkan kawasan di luar bandar melalui Buku Merah, di mana kalau kita lihat kembali, pada zaman itu, segala butir tentang kampung itu tercatat dalam buku berkenaan kampung itu," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada tiga kampung yang memenangi Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan iaitu Kampung Permatang Duku, Benut, Pontian Johor, Kampung Alor Limbat, Marang, Terengganu dan Kampung Uma Belor, Sungai Asap, Belaga, Kapit, Sarawak.

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) dirangka bagi menyelaras program dan bantuan membasmi kemiskinan di samping membela masyarakat di luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelan itu seterusnya dapat mengelak dan mengatasi masalah pembaziran, kepincangan, pertindihan serta menambah baik sistem penyampaian kepada masyarakat.

"Pelan induk ini dapat menangani isu yang cuba diatasi seperti pertindihan peranan dan tangungjawab, kerana kadang-kadang terdapat pembahagian makanan dan bantuan dari pelbagai kementerian seperti Kesihatan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat... walhal keperluan sebanyak itu membazir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian PIPLB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/Persekutuan (JKKK/JKKP) di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari Selasa.

Katanya pelan induk itu dapat dijadikan panduan dalam setiap perancangan dan perlaksanaan oleh semua kementerian dan agensi yang terbabit dengan pembangunan luar bandar di peringkat nasional dan tempatan.

Sementara itu, mengenai saranan Perdana Menteri supaya diwujudkan pangkalan data kampung yang dikemaskini, Mohd Shafie berkata pihaknya sudahpun menjalankan operasi mengumpul maklumat mengenai kampung-kampung di seluruh negara.

Menurutnya sehingga kini pangkalan data mengenai kampung-kampung di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, sudahpun disiapkan.

"Terdapat 15,000 kampung di seluruh negara termasuk di pedalaman dan aktiviti ini sentiasa berjalan, dan kemungkinan data lengkap disiapkan dalam tempoh setahun hingga dua tahun," katanya.

"Sekiranya perlu, data ini boleh dikongsi dengan kementerian-kementerian berkaitan dalam usaha membangunkan luar bandar," tambahnya.

Menurut beliau, pangkalan data yang juga dikenali sebagai Geografical Information System (GIS) dilengkapi dengan maklumat mengenai kawasan itu seperti jumlah penduduk, bilangan rumah, jalan serta kemudahan pendidikan hospital.

Kira-kira 8,000 anggota JKKK/JKKP menghadiri perhimpunan itu.

Terdahulu, Najib dalam ucapan perasmiannya di majlis itu menyarankan satu pangkalan data yang dikemas kini diwujudkan untuk membantu penyelarasan projek dan program pembangunan di setiap kampung di seluruh negara.



TUJUH TERAS PIPL BANTU TINGKAT PENDAPATAN LUAR BANDAR

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertujuan menyediakan garis panduan, hala tuju dan strategi pembangunan luar bandar secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan.

Menerusi Dasar Pembangunan Luar Bandar, kerajaan berhasrat untuk melahirkan masyarakat luar bandar yang progresif, berilmu dan berintegriti serta mewujudkan kawasan luar bandar yang maju dan menarik serta selamat untuk didiami.

Tujuh teras menjadi panduan dalam PIPLB untuk mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar kepada 80 peratus di samping membuka peluang pekerjaan baru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat luat bandar.

PIPLB memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat yang efektif, pembangunan ekonomi berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta pengintegrasian perancangan fizikal dengan program pembangunan luar bandar.

Ia juga memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam menyeluruh dan efisien, peningkatan kualiti hidup dan pendapatan golongan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah, pengurusan sumber alam secara mapan dan pengurusan pembangunan secara bersepadu.

Dalam melahirkan modal insan dan masyarakat yang efektif, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya masyarakat luar bandar memiliki sijil di peringkat menengah atas selain memperluaskan latihan dan kemahiran pelbagai peringkat, bidang dan peluang.

Daripada segi pembangunan ekonomi yang berdaya maju dan berdaya saing, pelaksanaan PIPLB akan mempelbagaikan aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif bagi meningkatkan rantaian antara industri desa dan bandar.

Strategi mengintegrasi pembangunan fizikal melalui projek yang dilaksana kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan mewujudkan tiga kluster yang dicadangkan mengikut klasifikasi perancangan fizikal serta membangunkan projek pembangunan di lokasi yang menepati keperluan kumpulan sasaran.

Selain itu, di bawah PIPLB, kerajaan akan menambah dan membaik pulih infrastruktur, sistem pengangkutan dan kemudahan asas serta meningkatkan projek perkembangan jalur lebar dan teknologi maklumat (ICT).

Bagi meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan golongan isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah, PIPLB akan menyediakan perumahan bagi kumpulan rapuh dan miskin tegar serta skim rumah mampu milik, meningkatkan kesedaran kesihatan dan pemakanan seimbang serta memantapkan jaringan keselamatan sosial.

Kumpulan Pemantau Alam Sekitar Luar Bandar akan ditubuhkan untuk memantau, menilai dan melapor segala aktiviti kerosakan alam sekitar.

Audit alam sekitar dilakukan berterusan supaya pencabulan alam dapat dikenakan tindakan selain menggalakkan aktiviti pertanian bio-organik supaya kesan bahan kimia terhadap kualiti tanah dan air dapat dikurangkan.

Sistem pengurusan pembangunan bersepadu pula dibuat bagi mengelak pertindihan fungsi dan tugas agensi.

Majlis Pembangunan Luar Bandar menguruskan bentuk perancangan dan pembangunan luar bandar bagi menyelesaikan masalah dan pertindihan kuasa agensi terbabit.

PIPLB adalah garis panduan yang diwujudkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah sebagai panduan dalam perancangan dan pelaksanaan oleh semua agensi yang terlibat dengan agenda luar bandar di peringkat nasional dan tempatan.



PANGKALAN DATA BASMI KEMISKINAN, SHAFIE

Pangkalan data bagi memudahkan pelaksanaan program pembasmian kemiskinan dan kemiskinan tegar membabitkan 15,000 kampung di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya menjelang 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, buat masa ini pangkalan data kawasan luar bandar di tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sudah siap dilaksanakan.

"Kita menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengemaskinikan dan melengkapkan pangkalan data bagi mengenal pasti jenis bidang ekonomi dan pelan pembangunan yang mahu dibangunkan di semua 15,000 kampung tersebut.

"Setiap kampung mempunyai keperluan serta kesesuaian bidang ekonomi yang berbeza dan kita percaya melalui pangkalan data ini, usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar dan golongan miskin dapat dilaksanakan secara holistik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kementerian tersebut menyiapkan pangkalan data semasa merasmikan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, kewujudan pangkalan data yang komprehensif dapat membantu kerajaan melaksanakan program pembangunan kepada penduduk luar bandar secara sistematik selain mengelak pertindihan tugas antara kementerian.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie mengakui, kekurangan pangkalan data sekarang ini menyebabkan wujud pertindihan antara kementerian dalam melaksanakan program bantuan untuk rakyat termiskin.

"Dalam beberapa kes, kementerian ini sebenarnya sudah memberi bantuan tetapi kemudiannya beberapa kementerian yang lain juga turut memberi bantuan yang sama sehingga keluarga tersebut mendapat lebihan bantuan dan ini kurang efisien kerana kita mahu bantuan diperluas.

"Melalui pangkalan data semua bantuan yang diselaras dan secara tidak langsung menjimatkan wang kerajaan untuk bantuan yang lain pula, kita mahu bantuan itu bersifat memberi pulangan kepada rakyat untuk jangka masa panjang dan bukan sebaliknya," jelasnya.