Monday, July 26, 2010

KAWASAN LUAR BANDAR ASET PENTING NEGARA, KATA MUHYIDDIN...



KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak akan mengabaikan pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar kerana kawasan luar bandar adalah aset penting negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha menaikkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan pembangunan di kawasan berkenaan.Katanya kerajaan juga akan terus membantu usahawan dan industri desa melalui bantuan pembangunan infrastruktur, bantuan latihan, bantuan modal, pinjaman mudah serta lain-lain lagi.

Muhyiddin berkata kerajaan mahu membangunkan desa-desa yang berdaya maju dan berdaya saing yang memberi peluang hidup kepada rakyat agar mereka tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup dan peluang ekonomi.

"Sebab itu kita harus jaga aset ini. Setiap satu unit di luar bandar kita anggap sebagai unit ekonomi...maknanya ia boleh menghasilkan pendapatan sendiri...dan boleh menyokong program mereka dengan sokongan dan bantuan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Usahawan Desa KUD 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, timbalannya Dato' Joseph Entulu Belaun dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Abd Jabar Che Nai.

Muhyiddin berkata apabila peluang ekonomi yang baik diwujudkan di kawasan luar bandar, maka rakyat tidak perlu berhijrah ke kawasan bandar mencari nafkah hidup kerana sudah ada peluang hidup dan ekonomi di kawasan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri berkata sejak dulu lagi kerajaan mengiktiraf kepentingan kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi masih terdapat sebahagian besar penduduk negara tinggal di kawasan luar bandar.

Namun katanya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini, kerajaan berjaya meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar sehingga berjaya membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, peningkatan pendapatan per kapita dan aktiviti dengan nilai ekonomi yang bertambah.

"Yang penting bagaimana kawasan luar bandar dapat dinaik taraf dari segi peluang-peluang hidup yang lebih baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kadar kemiskinan luar bandar telah menurun daripada 11.9 peratus pada 2004 kepada 8.4 peratus pada 2009, manakala purata pendapatan isi rumah masyarakat desa pula meningkat daripada RM1,875 sebulan pada 2004 kepada RM2,545 sebulan pada 2009.

"Pencapaian ini membuktikan usaha kerajaan yang gigih serta komited bagi memastikan taraf serta kualiti hidup rakyat terus dipertingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata bidang pertanian yang banyak melibatkan masyarakat dan kawasan luar bandar tidak harus dilihat sebagai satu kegiatan biasa, sebaliknya satu perniagaan yang bernilai tinggi serta perlu ditambah nilai bagi menjana peningkatan pendapatan.

Katanya proses ini memerlukan penghasilan barangan pertanian dan asas tani yang berkualiti serta pembungkusan yang baik, bukan sahaja untuk pasaran tempatan malahan pasaran antarabangsa.Katanya peluang pasaran antarabangsa terbentang luas termasuk untuk produk halal dan dalam hal ini promosi secara agresif juga penting bagi menembusi pasaran yang penuh saingan itu.

Menurut Muhyiddin, adalah juga penting mewujudkan satu pangkalan data mengenai pengusaha sebagai bahan rujukan untuk pasaran dan pengusaha.

Karnival empat hari bertema "Usahawan Desa Produktif, Luar Bandar Progresif" yang berakhir pada Ahad menghimpunkan kira-kira 500 usahawan dan bertujuan mempromosi dan menjual produk mereka kepada orang ramai. -- BERNAMA

KARNIVAL USAHAWAN DESA KUD 2010 TAMPIL PRODUK DESA KUALITI DUNIA...





Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai dengan logo Karnival Usahawan Desa KUD 2010.


Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Karnival Usahawan Desa 2010 KUD 2010 anjuran Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berlangsung mulai hari ini hingga 25 Julai di Stadium Bukit Jalil, berbeza dari tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara tahunan KKLW ini bukan sahaja menghimpunkan 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka, tetapi juga akan membantu mereka mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Tahun ini, Kementerian menerima sambutan yang amat menggalakkan berhubung permintaan tapak gerai pameran dan jualan produk. Pengusaha yang terpilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah KKLW dengan mereka mempamer dan menjual produk makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Abd Jabar Che Nai penganjuran KUD 2010 ialah penganjuran terbesar sejak karnival seumpamanya diadakan.

Selain menempatkan 500 usahawan desa yang terpilih, pihaknya turut menjemput pasar raya besar seperti Giant, Tesco, Mydin dan The Store dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa. Ia selaras dengan objektif penganjuran KUD 2010, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui pempadanan perniagaan.

Kementerian turut mengadakan simposium keusahawanan selama dua hari bagi memberi pendedahan kepada para usahawan dalam membuat perancangan pemasaran serta mengetahui kaedah bagi mendapat pengiktirafan untuk memasuki pasaran yang lebih besar.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDI, SMIDEC dan sebagainya.


PERLUASKAN JARINGAN


"Kami mendapati para usahawan ini memiliki produk yang amat berkualiti. Sungguhpun mereka yang terpilih ini berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, tetapi mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Abd Jabar.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Abd Jabar, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri. Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Abd Jabar berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran. Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

"Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam. Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak. Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Abd Jabar.


PRODUK DESA 1MALAYSIA

Karnival yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu 24 Julai 2010 itu bukan sahaja untuk usahawan desa, tetapi turut berorientasi penyertaan masyarakat.

Menurut Abd Jabar, KUD 2010 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya. Mereka pasti mengkagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang ia berlangsung, pelbagai acara menarik dirancang. Antaranya ialah persembahan artis terkenal serta 30 demonstrasi tiga produk terbaik pada setiap hari.

"Inilah peluangnya untuk masyarakat melihat dan mendapatkan produk-produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan. Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," kata Abd Jabar.-- BERNAMA

(Temuramah ini dipetik daripada bernama.com dan disiarkan sehari sebelum majlis perasmian KUD 2010 oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri.

Friday, July 23, 2010

KARNIVAL USAHAWAN DESA KUD 2010 AKAN LEBIH RANCAK ESOK...



Ini adalah program penuh Karnival Usahawan Desa KUD 2010 di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil Kuala Lumpur yang akan dirasmikan pagi esok.

Program KUD 2010 telah bermula semalam dengan penganjuran Simposium Usahawan Desa 2010 yang dihadiri oleh seramai 500 usahawan bimbingan agensi-agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) seperti KEMAS, MARA, RISDA, JHEOA, FELCRA, KEJORA, KEDA, KETENGAH dan KESEDAR.

Warga Kota seharusnya mengambil kesempatan ini untuk bertemu para usahawan ini dan melawat 500 gerai pameran produk, perkhidmatan dan demonstrasi yang pelbagai.Jumpa di sana ya??

ESOK KARNIVAL USAHAWAN DESA KUD 2010 DIRASMIKAN...


Jom beramai-ramai ke Karnival Usahawan Desa KUD 2010 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Majlis perasmian yang bermula pada 9 pagi akan disempurnakan oleh Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ayuh! Kita meriahkan KUD 2010...




Thursday, July 22, 2010

KARNIVAL TERBESAR USAHAWAN DESA BERMULA...



Dato' Abd Jabar Che Nai sedang berucap pada majlis perasmian Simposium Usahawan Desa sempena Karnival Usahawan Desa KUD 2010 di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.







Hari pertama Karnival Ushawan Desa KUD 2010 di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bermula secara rasmi hari ini dengan penganjuran Simposium Ushawan Desa 2010 di Perkarangan Letak Kereta B di kompleks berkenaan di sini.

Simposium yang dihadiri oleh seramai 500 usahawan desa dari setiap pelusuk negara dirasmikan oleh Datuk Abd Jabar Che Nai, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Hadir sama ialah Ketua Pengarah Mara Dato' Ibrahim Mohamad.

Dato' Abd Jabar dalam ucapannya telah memberikan Arahan Dasar Keseluruhan atau Overall Policy Directive yang mengariskan beberapa pendekatan baru dan yang terkini dan prinsip-prinsip penting untuk dihayati dan diamalkan oleh para usahawan desa di bawah bimbingan Kementerian.

Daripada jumlah itu, seramai 100 orang usahawan bimbingan MARA, 50 usahawan bimbingan RISDA, 40 orang usahawan bimbingan KETENGAH, 40 usahawan bimbingan KEJORA, 40 orang usahawan bimbingan KESEDAR, 50 orang usahawan bimbingan FELCRA dan 40 orang usahawan bimbingan KEDA hadir mengikut simposium dua hari itu.

Beberapa kertas kerja dibentangkan yang termasuk Keperluan Pemiawaian Produk, Akses Kemudahan Kepada Usahawan dan Laluan Pemasaran Produk.

Tuesday, July 20, 2010

JOM KE KARNIVAL USAHAWAN DESA 2010...



Di mana boleh kita jamah Sambal Hitam terkenal dari Kuala Lipis, Pahang sambil pekena Nasi Ulam dengan Gulai Rias Pisang dari Utara tanahair dan mencuba masakan Belangkas dan masakan Ikan Rom?

Ada ke Ikan Rom? Ada, tentu ada…belangkas? Hmmm…

Juga di mana boleh Warga Kota menjamu mata akan Tenun DiRaja Pahang, Kraf Bunga Daun Getah dan Wau Sobek?

Semua ini hanya mungkin dapat direalisasikan di Karnival Usahawan Desa atau KUD 2010 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dari 22 hingga 25 Julai ini, iaitu Khamis sehingga Ahad ini.

Justeru itu, lapangkanlah hujung minggu anda ini untuk ke arena sukan mutakhir negara ini yang menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Terbesar Usahawan Desa anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang akan menghimpunkan seramai 500 usahawan dari setiap pelusuk negara, dari semua kampung, desa, ceruk, kubang, parit dan jajahan di sebuah temasya terbesar untuk menyerlahkan Produk dan Perkhidmatan Luar Bandar yang diusahakan oleh Rakyat Kita.

Datanglah beramai-ramai dan tolong bagi tau keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan sahabat handai akan temasya istimewa ini.

Pelbagai program menarik diatur sempena KUD 2010 ini dan antara pengisiannya ialah menyerlahkan empat produk utama iaitu makanan, herba, kraftangan dan perkhidmatan.

Disediakan pelbagai gerai usahawan yang terbabit dalam semua bidang perniagaan – dari masakan dodol sehingga ke pengukir kayu, pembuat sumpit, dandanan diri, seramik, lateks, mencating batik dan bermacam lagi.

Untuk menjamu selera desa penganjur menyediakan ruang untuk pengunjung merasai Kuih Gedung Chak, Kuih Bunga Pudak, Satar, Otak-Otak Muar, Muttabak Lapis Raja, Laksa Johor dan pelbagai lagi juadah yang jarang-jarang ditemui di Ibu Kota kita ini.

Dalam kesibukan berkarnival ini, seramai 500 orang usahawan desa juga terbabit dengan sebuah symposium yang diadakan semasa karnival empat hari ini.

Tiga sesi pengisian akan diadakan yang termasuk Pemiawaian Produk, Akses Kemudahan Laluan dan Pemasaran Produk yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Mara (MARA).

Di sepanjang karnival ini akan diadakan pelbagai demonstrasi masakan, demonstrasi pembikinan kraftangan dan demonstrasi perkhdmatan, pertandingan mewarna, pakaian beragam, auto show dan pengkisahan usahawan berjaya.

Karnival Usahawan Desa KUD 2010 ini akan dirasmikan oleh Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang akan disertai oleh Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jom Kita Meriahkan KUD 2010!!!

Sunday, July 11, 2010

Kerja Dalam Pembikinan...

Blog ini sedang dikemaskini oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).