Thursday, January 21, 2010

KKLW SEDIA LEBIH 7 JUTA UNTUK TABIKA KEMAS...

JITRA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta untuk pembangunan kemudahan tadika-tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh Kedah bagi tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata daripada jumlah berkenaan lebih RM5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf peralatan-peralatan supaya sistem pendidikan peringkat tadika dapat dipertingkatkan.

"Bagi negeri ini, tiga kelas baru akan dibuka kerana jumlah pelajar semakin meningkat, lokasinya telah dikenalpasti dan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama waris-waris pelajar tadika Kemas Dewan Undangan Kota Si Puteh dan kaunter khidmat rakyat, di Kodiang dekat sini pada hari Sabtu.

Katanya setakat ini terdapat 738 kelas tadika Kemas di negeri ini, dengan bilangan pelajar melebihi 18,000 orang pada tahun ini, berbanding lebih 17,000 pelajar pada tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan pelajar setiap tahun menunjukkan kemudahan tadika Kemas sangat penting terutama di kawasan luar bandar kerana tidak banyak tadika persedirian beroperasi di kawasan berkenaan.

"Pendidikan di peringkat pra-sekolah perlu diberi tumpuan dan keutamaan, kerana sekiranya kanak-kanak mempunyai asas yang kuat dan kukuh dari segi ilmu, ia akan memudahkan mereka mencapai kejayan di peringkat rendah dan menengah," katanya.

Mohd Shafie berkata peruntukkan bagi tadika Kemas seluruh negara pada tahun ini pula mencecah RM100 juta.

Sementara itu, mengenai Kaunter Khidmat Rakyat yang julung kali diadakan hari ini, beliau berkata sambutan amat menggalakkan dan ia memudahkan pihak kementerian mengenalpasti masalah yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi."

Ini konsep pertama yang kita bawa untuk mendengar masalah dan rungutan rakyat, selepas dapat semua maklumat kita akan cuba selesaikan segera dan hari ini sambutan sangat menggalakkan, ramai masyarakat datang," katanya. -- BERNAMA

Sunday, January 17, 2010

KAUNTER KHIDMAT RAKYAT DI KODIANG, KEDAH...



Komen orang ramai... "betoi ka kita buleh jumpa menteri hari ini?"..."Ada ke masa menteri jumpa kami, dia kan sibuk?"..."Ish ish, macam tak caya je Dato' Shafie nak jumpa rakyat macam kita nie?"..."Boleh ka kami mengadu kat dia pasai nak repair rumah?"..."Ini lah cara menteri kita...jumpa rakyat, hangpa kena habaq kat dia buat kerap sikit".

YB Dato' Seri Haji Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan Tuan Haji Abdullah Embong, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat. Bersama-sama beliau ialah Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi Encik Kamaruzaman Umar dan Tuan Haji Jasman Jurami, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Infrastruktur sebelum beliau mengendalikan Kaunter Khidmat Rakyat.

Dato' Seri Haji Shafie melayan pengadu pertama. Kelihatan ialah YB Dato' Mukriz Tun dr Mahathir Ahli Parlimen Jerlun, Adun Kota Siputeh YB Dato' Abu Hassan Shariff dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Abd Jabar Che Nai.


TKSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Puan Nursiah Arshad sibuk melayan rakyat dan diperhatikan oleh Pengarah Kemas Negeri Kedah Encik Md Adnan Md Daud.


Rakyat yang menunggu giliran untuk bertemu dengan Dato' Seri Haji Shafie...seramai 140 orang telah mendaftar di Kaunter Khidmat Rakyat.

Dato' Seri Haji Shafie berbincang dengan Dato' Mukriz mengenai masalah rakyat... diperhatikan oleh Dato' Abd Jabar...

Tuan Haji Mohd Arpan Shari, Pengurus Besar KEDA...

Dato' Abdul Puhat Mat Nayan Ketua Pengarah KEMAS sibuk melayan aduan dan permohonan Rakyat.
Setiausaha-setiausaha bahagian Kementerian sibuk bertugas melayan karenah Rakyat.

Tuan Haji Mohd Arpan dikerumuni Rakyat untuk mendapatkan bantuan dan membuat permohonan.

"MyKad saya ni macam mana?...Dato' mau tengok ka saya ni warganegara ka bukan?"

Urusetia Kaunter Khidmat Rakyat sibuk membantu Rakyat semasa pendaftaran dan memberikan penerangan bagaimana konsep kaunter ini beroperasi.

Puan Jasminawati Md Jamin dari Unit Komunikasi Korporat tekun mendengar masalah Rakyat semasa sessi pendaftaran...memang tak menang tangan!

RAKYAT DIDAHULUKAN…

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk pertama kalinya memperkenal dan membuka Kaunter Khidmat Rakyat dalam usahanya mendekati dan mendengar sendiri masalah rakyat di luar bandar dan pedalaman.

Kaunter khidmat ini dibuka semasa lawatan kerja Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dikendalikan sendiri oleh beliau untuk selama sejam di MADA Kodiang, Kedah pada Sabtu, 16 Januari 2010.

Unit Komunikasi Korporat yang mengurus-setiakan kaunter ini menerima sebanyak 140 aduan, sungutan, permohonan membaiki dan membina rumah, penyaluran bekalan elektrik dan air, pembinaan jalan dan sebagainya daripada penduduk, khususnya Warga Kedah yang mengambil kesempatan terbaik ini untuk didengari masalah mereka.

Hadir sama pada sessi khidmat kaunter itu ialah Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukriz Tun Dr Mahathir dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh Dato’ Abu Hassan Shariff, Ketua Setiausaha Kementerian Dato’ Abd Jabar Che Nai, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Puan Nursiah Arshad dan ketua-ketua pengarah jabatan, ketua-ketua eksekutif dan pengurus besar agensi seperti KEDA (Haji Mohd Arpan Shari), Kemas (Dato' Abdul Puhat Mat Nayan), Felcra (Dato' Haji Mohd Nasir Baba) , Risda dan MARA (Dato' Haji Ibrahim Muhammad) dan setiausaha-setiausaha bahagian yang berkenaan.

Kaunter Khidmat Rakyat ini adalah pendekatan baru Kementerian untuk berada di padang bagi menghayati masalah dan hal-ehwal rakyat yang selaras dengan gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Dato' Seri Haji Shafie melayan 50 aduan, permohonan, pertanyaan dan cadangan daripada rakyat. Turut melayan aduan ialah Dato' Abd Jabar, Puan Nursiah, Haji Abdullah, Encik Kamaruzaman, Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti dan Infodesa Encik Mohd Rasdi Ag Lah. Urusetia kaunter menerima sebanyak 140 kes yang kesemuanya sedang diproses oleh kementerian dan maklumbalasnya akan dihantar kepada pemohon dengan kadar segera.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah kementerian yang pertama mengendalikan kaunter ini yang berbeza dengan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan sebelum ini.

1Malaysia Bermula dari 1Wilayah


WARTA DESA SALURAN KOMUNIKASI KKLW...

Timbalan Ketua Pengarah MARA Dato' Otman Ahmad adalah antara pegawai kanan Kementerian yang meneliti Warta Desa selepas Mesyuarat Pengurusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Dato' Haji Mohd Nasir Baba tekun meneliti Warta Desa keluaran Disember 2009

Selain daripada blog KampungKu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga mempunyai media tradisional untuk tujuan promosi dan publisiti segala aktiviti dan kegiatan Kementerian, dalam bentuk sisipan bertajuk Warta Desa yang diterbitkan sebulan sekali.

Namun begitu, sasaran spesifik warta ini adalah warga Sabah dan Sarawak yang menjadi antara fokus khusus pelbagai program pembangunan di bawah kerangka Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA.

Warta ini yang mempunyai 16 halaman setiap terbitan dikendalikan oleh Utusan Borneo yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. Syarikat media itu mengkhususkan Encik Koh Kian Leong untuk liputan berita dan berita bergambar.

Sehingga kini Warta Desa merupakan terbitan yang popular di Kementerian.

Wednesday, January 13, 2010

KAUNTER KHIDMAT RAKYAT...


YB Dato' Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mengendalikan sendiri Kaunter Khidmat Rakyat di MADA Kodiang, Kedah Sabtu ini, 16 Januari 2010 semasa menghadiri Program Khidmat Masyarakat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Agensi-Agensinya.

Program sehari itu adalah satu pengenalan kepada perkhidmatan kepada rakyat yang seleras dengan konsep Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan anjuran Perdana Menteri YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Rakyat, terutamanya warga Kedah Darul Aman dialu-alukan mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan, memohon surat sokongan dan permohonan bantuan yang dikendalikan oleh Kementerian dan agensi-agensinya.

Kaunter Khidmat Rakyat ini akan dibuka pada pukul 11 pagi untuk selama 3 jam sehingga 1 petang.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memudahcarakan proses pengendalian kaunter ini yang pertama kalinya diadakan oleh Kementerian dalam usaha untuk memudahkan urusan rakyat terutamanya di luar bandar.

Jangan lupa datang ke MADA Kodiang, Kedah Sabtu ini.

Sunday, January 10, 2010

MARTABATKAN YANG HAK, PENCILKAN YANG BATIL...


Walau pahit sekalipun, berkatalah sekiranya ia adalah yang hak. Dan yang batil, usah dipedulikan langsung waima ia laksana halwa telinga.

Agama menyuruh kita berbuat demikian, namun tidak semua kita yang mampu atau mempunyai kudrat untuk lakukannya. Kita tidak menghayati maksud ayat-ayat suci Al-Quran sekiranya kita terlalu lemah untuk melakukannya.

Apabila kita tidak sanggup berkata yang hak, maka wujudlah segelintir kita yang suka berbual mengenai orang lain di belakang orang itu. Dalam erti kata yang lain, mengumpat.

Justeru, wujudnya tabiat mengata orang di belakang kerana kalau berhadapan kita akan takut, gerun dan tidak berupaya membuka mulut walaupun tadi semasa di belakangnya kita terlalu kesumat dan begitu bersemangat mengumpat seseorang itu dan malang sekali ianya dibuat di hadapan sekumpulan orang lain.

Selalunya kita terdengar orang bawahan yang suka mengumpat. Namun, kini muncul pula tabiat mengumpat dan mengeji orang lain laksana sebuah filem Melayu lama dahulu yang menceritakan alkisah sebuah pulau diserang sekumpulan ikan.

Maka si pengumpat (berseorangan atau berkumpulan) muncul sebagai jaguh kandang yang hanya berani dan petah mengumpat seseorang itu di belakangnya lantaran di hadapan orang itu, matanya pun kita tidak sanggup melihat, mulut terkunci dan lidah kelu semuanya kerana tidak kuasa bercakap, berbicara atau mungkin berdiskusi dengan seseorang atau sekumpulan itu.

Hentikanlah sikap keji ini dan kembalilah kepada kewarasan dan sikap yang berlandaskan agama kita.

Sekiranya benar apa yang kita katakan atau hendak katakan, maka berkatalah yang hak walaupun ia pahit, jadilah Hamba Allah yang berani kerana benar, tegas dan telus serta tulus.

Seperkara lagi, JANGANlah dimulakan dan diamalkan politik pejabat di mana-mana sekalipun.

Bahana politik pejabat amatlah azab, boleh membawa kehancuran sesuatu unit, bahagian, jabatan, agensi atau kementerian itu.

Politik pejabat ala berpuak-puak dan bermuka-muka amatlah songsang sifatnya dan hendaklah dihentikan sekiranya sudah diamalkan dan perlu diajalkan kalau ia masih baru hendak menunjukkan kepalanya yang jijik.

Politik pejabat langsung tidak sesuai untuk warga pejabat yang muda dan yang tua, hentikan dan kembalilah ke pangkal jalan agar kita semua sentiasa sejahtera menjalankan tugas dan memikul amanah dan tanggungjawab.

KampungKu mengucapkan Selamat Menjalankan Tugas kepada seluruh Warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan harapan mengunung agar terus membela Rakyat Luar Bandar...

1 Malaysia Bermula Dengan 1Wilayah

Monday, January 4, 2010

IBRAHIM KETUA PENGARAH MARA YANG BARU...


Dato Ibrahim bertemu YB Dato' Seri Mohd Shafie Apdal di KKLW, Isnin 4 Januari 2010

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ingin memaklumkan pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim bin Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Ketua Pengarah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), P.T.D. Gred Utama A, mulai 1 Januari 2010 bagi menggantikan Y.Bhg. Datuk Nam bin Marthinin yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 29 September 2009.

2. Pelantikan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim, 55 tahun, dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi dan pembangunan sosial yang diperolehi sepanjang berada dalam perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, beliau telah terlibat dengan pelbagai perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara semasa memegang pelbagai jawatan iaitu:

· Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mulai 11 September 2006;

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2006);

· Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertanian (2002-2003);
· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik, Kementerian Pertanian (2000-2002);

· Pengarah, Perdagangan Malaysia, Taipei, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1994-1999);

· Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Taiwan, Bahagian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (1991-1994);

· Penolong Pengarah, Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan (1986-1991);

· Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Kementerian Kewangan (1982-1985); dan

· Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Khazanah Negara, Kementerian Kewangan (1978-1982).

3. Y.Bhg. Dato’ Ibrahim adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Dubuque, Iowa, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya, serta memulakan perkhidmatan dengan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 November 1978.

4. Kementerian percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau dalam bidang pembangunan dan pengurusan kewangan dan ekonomi akan membolehkan Y.Bhg. Dato’ Ibrahim mengetuai MARA dalam meneruskan pembangunan sosio-ekonomi bumiputera secara lebih efisyen dan berdaya saing di samping memastikan MARA menyumbang terhadap pencapaian matlamat ‘1Malaysia’, Misi Nasional dan Wawasan 2020.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
31 Disember 2009